Wanita Penyelamat AirAsia, Tindakan Pantas Aireen Omar Bantu Pulihkan Syarikat Yang Tenat

Sudah setahun sunyi mengisi langit. Lapangan terbang lengang dan pesawat tersadai lesu di hangar. Industri penerbangan hambar sejak wabak COVID-19 menular. Ketika meninjau angkasa, perhatian serta-merta tertumpu pada aktiviti Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia kini berdepan cabaran paling besar dalam sejarah. Sejak kebanyakan negara melaksanakan sekatan perjalanan serta menutup pintu masuk antarabangsa, industri pelancongan dan penerbangan lumpuh sama sekali.

Bagaimana ikon pemimpin wanita yang pernah mengangkat martabat golongan Hawa dalam industri aviasi ini berdepan cabaran paling besar dalam sejarah?

Aireen Omar

Sampai bilakah armada pesawat AirAsia akan ‘direhatkan’? Mampukah syarikat AirAsia Group terus bertahan dengan pendapatan yang menjunam, prestasi merosot dan keuntungan menyusut?

Ditambah lagi berita menyedihkan, ramai anak kapal dan kakitangan syarikat itu terpaksa diberhentikan bagi menampung kos rugi. Gaji pihak pengurusan juga dipotong selain pelbagai lagi penstrukturan semula syarikat yang terpaksa dilakukan. AirAsia bagai ‘menanti masa’ untuk ditutup.

OPTIMIS

Pelancaran Redbeat Academy

Di sebalik kerugian besar AirAsia, pihak pengurusannya tangkas mengambil langkah dengan mempercepatkan inisiatif digital syarikat yang telah mula dilaksanakan seawal tahun 2018 lagi. Bayangkan pada Oktober lepas, AirAsia Digital di bawah arahan Aireen Omar bekerjasama dengan Google untuk melancarkan Redbeat Academy, bagi mengembangkan perniagaan digital Kumpulan AirAsia.

“Pada mulanya, akademi ini ditubuhkan untuk kakitangan AirAsia (Allstars) untuk mempelajari kemahiran baharu melalui bengkel teknologi seperti Kecerdasan Buatan, Pembelajaran Mesin, Perisian Kejuruteraan, Keselamatan Siber, Big Data dan Infrastruktur serta lain-lain. Kini Redbeat Academy turut dibuka untuk orang awam.”

Pernah diiktiraf sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tahunan Asia Pasifik 2017 di Anugerah Tahunan Aviation 100, kini Aireen Omar menggalas portfolio berbeza sebagai Presiden AirAsia Digital. Beliau bertanggungjawab merangka strategi digital, mempromosikan inovasi baru dan merancakkan kolaborasi di antara bisnes-bisnes AirAsia.

Pasaran penerbangan yang merudum turut mendesak wanita lulusan Masters dari New York University (NYU) itu melancarkan inisiatif baru, seperti mentransformasikan AirAsia Group sebagai syarikat berplatformkan data dan cloud.

Beliau juga merintis perniagaan berasaskan digital seperti BigLife, BigPay, Teleport dan Santan, selain menukar airasia.com lebih dari sekadar sebuah platform penerbangan.

Kolaborasi AirAsia dan Google

Produk BigPay umpamanya merupakan satu sistem pembayaran yang membolehkan pengguna membuat transaksi tanpa tunai. Pembayaran bil juga boleh dilakukan melalui aplikasi ini, selain mampu menawarkan pinjaman kepada PKS, usahawan dan individu melalui Lesen Kredit Komuniti.

Merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik, Aireen yang berasal dari Petaling Jaya juga adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Beliau juga sangat rapat dengan anak-anak buahnya yang semakin meningkat dewasa.

Aireen memulakan kerjaya pertamanya di AirAsia Berhad pada bulan Januari 2006, sebagai Pengarah Kewangan Korporat. Dari situ, portfolionya semakin berkembang di jabatan-jabatan lain seperti Perbendaharaan, Perolehan Minyak dan Perhubungan Pelabur.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia dari tahun 2012 hingga 2017, seterusnya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformation and Corporate Services) pada tahun 2018 dan terkini Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia sejak tahun 2019.

Sumber: AirAsia

Share
Published by
Norzalina