Kehandalannya memasak laksa dan rendang membawa nama Ping Coombes tersohor ke seluruh England. Anak kelahiran Ipoh, Perak itu juga baru saja diangkat sebagai juara program MasterChef UK Champion of The Champions, anjuran BBC One awal Januari 2022.
Wanita berketurunan Cina dan berusia 40 tahun itu pada awalnya melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford, United Kingdom pada tahun 2000.
Selepas berumah tangga dengan Andrew Coombes pada tahun 2006, ibu kepada Alexa dan Luna ini mula mengasah bakat dan mempopularkan masakan Malaysia serta menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi.
Sering dijemput dalam rancangan talk show seperti This Morning dan Sunday Brunch, Ping turut dilantik sebagai Malaysia Kitchen Ambassador pada tahun 2016 bagi mempromosikan masakan Malaysia di luar negara.
Terkenal dengan masakan Malaysia autentik, air tangan Ping sering mendapat pujian masyarakat di sana.
Penulis buku dan guru masakan hebat ini turut menjual pelbagai pek lauk-pauk seperti daging masak lemak, ayam masak merah, kari ayam Melaka, nasi ayam, pan mee, cucur dan roti canai kepada pelanggannya di sekitar Bath, England.
Sebagai pengusaha kecil, semua masakannya dipek segar selepas dimasak. Menu air tangan Ping At Home ni sememangnya sangat laris serta mendapat banyak tempahan setiap minggu. Tengoklah tu, menu Malaysia di bumi Inggeris!
Ping Coombes melakar sejarah apabila dipilih sebagai pemenang MasterChef UK Champion of The Champions pada awal Januari. Beliau sebelum ini juga pernah memenangi MasterChef 2014 menerusi menu masakan berinspirasikan Malaysia.
Wanita berwajah keibuan ini kembali untuk program yang diadakan sempena sambutan tahun baharu itu dan bersaing dengan beberapa bekas juara lain termasuk juara 2011 Tim Anderson, Saliha Mahmood Ahmed (2017), Kenny Tutt (2018) dan Irini Tzortzoglou (2019).
BAGAI MIMPI
“Kembali ke dapur MasterChef mengembalikan begitu banyak kenangan indah dan ia membuatkan saya berasa gembira.
Saya meletakkan diri saya di sana sekali lagi, terbuka kepada kritikan jadi apabila menerima pujian, saya rasa sangat gembira.” Ping Coombes
Tambahnya, kemenangan ini adalah hadiah tahun baharu terbaik untuknya dan bersyukur kerana boleh berkongsi kecintaan tersebut dengan ramai orang.
“Masih banyak yang perlu dipelajari dan dikongsi dengan anda semua untuk tahun-tahun mendatang.
Kalau anda datang ke Bath, pastikan anda nikmati Ping At Home chilled meal atau datang ke Pings Makan Club.” Ping Coombes
Salah satu cabaran malam itu menyaksikan Ping memilih menyediakan masakan terkenal Malaysia iaitu nasi ayam claypot dan ais kacang, kedua-duanya dengan versi tersendiri, menampilkan meringue berperisa mawar dan mousse jagung.
“Saya pilih untuk membuat makanan jalanan yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Membesar dengan nasi ayam, saya pastikan perapan ayam diletakkan di atas nasi ketika ia hampir-hampir masak di bawah.
Ada kemahiran yang mesti dipelajari supaya nasi ayam claypot ini masak sempurna.” Ping Coombes
Salah seorang juri, Gregg Wallace menyifatkan masakan Ping sebagai ‘benar-benar lazat’, manakala John Torode, berkata masakan itu menonjolkan dua sisi berbeza Ping.
Tahniah Ping Coombes, semoga kejayaan ini menjadi inspirasi dan terus mengangkat nama masakan Malaysia di mata dunia. Nah, bukankah negara kita kaya dengan pelbagai masakan lazat setanding dengan cita rasa antarabangsa?
Foto: Instagram Ping Coombes
This website uses cookies.