Tiada perkataan yang mampu membidas hujah wanita ini. Meskipun berkerut dahi, tapi tiap katanya yang pedas… bernas berisi.
Mungkinkah ini realiti wanita Malaysia di ambang 60 tahun kemerdekaannya? Sama-sama kita telusur fikiran kompleks Dr. Haliza Zurah, luahannya dalam konteks wanita merdeka. Benar atau tidak… Jawapannya ada pada kita sendiri.
=========================================
Wanita Alaf Baru, Manja Atau Malas?
Baru-baru ini saya dikejutkan oleh sebuah paparan dari halaman Facebook yang mempromosikan kempen ‘Sarawak Bebas Janda 2018’.
Melalui iklan dari halaman berbahasa Iban tersebut, mereka mengalu-alukan konsep ‘1 lelaki 2 bini’ demi mensasarkan sifar janda pada tahun 2018.
Tidak dapat dipastikan jika paparan tersebut adalah satu lawak jenaka murahan namun ia telah menghina integriti kaum wanita terutamanya golongan janda.
Saya merasakan tindakan tatatertib terhadap laman tersebut adalah wajar. Oleh itu, saya telah menyuarakan hasrat saya kepada beberapa wanita yang saya kenali dengan harapan mereka akan menyokong dan turut serta turun padang demi mempertahankan martabat kaum wanita.
Namun saya hanya dijawab dengan kebisuan semata-mata. Dalam kumpulan Whatsapp yang kadangnya riuh dengan perbincangan hal-hal ringan, tiba-tiba menjadi senyap apabila bangkit isu maruah wanita.
Beberapa ahli kemudiannya menyahut dengan ketidakpuasan hati namun hanya berakhir di situ tanpa sebarang tindakan. Persoalan saya ialah, di manakan sifat perjuangan di kalangan kaum wanita generasi kini?
Jika kita mengamati sejarah Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana mempunyai beberapa tokoh agung wanita yang telah mengorbankan jiwa dan raga mereka demi kemerdekaan tanah air.
Nama-nama seperti Khatijah Sidek, Shamsiah Fakeh, Suriani Abdullah dan Aishah Ghani kurang menyinar berbanding pejuang kemerdekaan kaum lelaki yang seangkatan.
Tenggelam mungkin juga kerana sebahagian daripada perjuangan mereka adalah lebih radikal dan berhaluan kiri. Namun kisah mereka tersisip elemen perjuangan yang spesifik kepada kewanitaan seperti nilai keibuan, kelembutan, ketabahan dan cinta seorang wanita.
Semangat pejuang yang dimiliki oleh wanita-wanita besi inilah yang sepatutnya dipupuk di kalangan generasi muda sekarang. Misi perjuangan tidak pernah berubah. Dulu dan kini sama berjuang untuk mempertahankan hak sejagat.
Namun arus globalisasi menyebabkan kita cukup selesa dan alpa lantas kita gagal mendukung tanggungjawab tambahan.
Jika cadangan perjuangan diusul, wanita manja kini menjawab dengan alasan yang remeh seperti sibuk dengan anak, masalah kewangan, enggan masuk campur dan tiada kebenaran suami.
Adakah wanita besi zaman kemerdekaan dulu tidak mempunyai anak atau suami? If there is a will there is a way.
Wanita harus berani tampil untuk melawan dalam skala besar seperti berhadapan dengan pihak antagonis yang menjatuhkan maruah wanita, lantang menyuarakan hak dan menggunakan akal bagi memasang strategi membangunkan wanita.
Kebanyakan individu generasi kini hanya hebat sebagai keyboard warrior menjerit-jerit tidak puas hati di alam maya. Perjuangan sekadar menghentam papan kunci atau menaip di telefon bimbit yang berjenama mahal tidak akan membawa kepada perubahan.
Akibat daripada lenyapnya semangat perjuangan ini, penganiayaan terhadap wanita akan berterusan. Tiada revolusi dalam status wanita dalam masyarakat.
Kita akan terus ketinggalan dan bertuankan sistem patriarki. Jangan sekadar mengomel tentang hak atau layanan yang tidak sama rata tanpa mengambil sebarang tindakan. Kita juga harus memastikan maruah kita tidak diperlekehkan oleh golongan yang kecil jiwanya.
Oleh itu, saya ingin menyeru kepada wanita yang kini sedang selesa duduk di atas kerusi empuk untuk menganalisa kembali jika kita sudah mencapai status wanita maju dan berwibawa. Jika belum maka bangkitlah dan berganding bahu untuk membuat perubahan.
Berbalik kepada isu kempen mensifarkan janda di bumi Sarawak. Saya menyarankan pihak tersebut fokus untuk memupuk sifat bertanggungjawab di kalangan kaum lelaki.
Didikan dalam skop menyediakan keperluan secukupnya kepada isteri dan anak-anak, tidak curang, rajin bekerja dan tidak mengikis duit isteri adalah lebih tepat. Suami yang berjaya mengemudikan rumah tangga akan mengurangkan kes-kes penceraian lalu impian mensifarkan janda akan menjadi satu kenyataan. Setuju?
=========================================
Dr. Haliza Zurah merupakan seorang doktor perubatan, Pengasas Women’s Organisation for Change (WOC) dan bergiat aktif sebagai aktivis di Women AIDS Organisation (WAO).
Awal tahun ini, Nona pernah menyiarkan kes beliau sebagai mangsa penderaan domestik dan kini Dr. Haliza berjuang mempertahankan nasib wanita teraniaya. Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.