Mengakhiri sisa hidupnya dengan tenang, begitulah dakwa ahli keluarga Bettencourt menjelang hari-hari terakhir wanita terkaya di dunia itu.
Liliane Bettencourt, pewaris syarikat kosmetik L’Oreal dengan nilai kekayaan mencapai 33 Juta Euro, dikhabarkan telah meninggal dunia akibat demensia pada usia 94 tahun, semalam.
Mendiang meninggalkan lembaga urusan L’Oreal pada tahun 2012 dan jarang tampil di khalayak, namun beberapa kali muncul dalam berita mengaitkan beliau dengan kes eksploitasi berprofil tinggi, susulan penyakit demensia yang dialaminya.
Dalam kenyataan rasmi oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif L’Oreal, Jean-Paul Agon, “Kami semua kagum terhadap mendiang yang selalu memantau perjalanan L’Oreal, baik urusan syarikat mahupun kakitangannya serta mengambil berat soal perkembangan jenama dunia ini.
Secara peribadi, mendiang banyak menyumbang ke arah kemajuan syarikat selama bertahun-tahun lamanya. Mendiang bukan saja seorang wanita yang cantik, malah seorang yang tidak akan kami lupakan.”
Kontroversi
Mendiang tidak lepas dari terpalit pelbagai kontroversi, antaranya ketegangan hubungannya dengan anak sendiri, Francoise Bettencourt-Meyers pada tahun 2007.
Dikatakan Bettencourt-Meyers memfailkan dakwaan terhadap orang-orang di sekeliling ibunya yang cuba mengambil kesempatan sewaktu kondisi kesihatan ibunya menurun.
Dalam satu pendedahan pada tahun 2008, seorang jurufoto yang selalu menjadi teman mendiang iaitu Francois-Marie Banier telah dihadiahkan sejumlah barangan bernilai ratusan juta dollar termasuk lukisan Picasso dan pulau seluas 270 hektar di Seychelles.
Bettencourt-Meyers juga bertindak mengambil langkah undang-undang apabila staf ibunya memberitahu rancangan mendiang yang mahu mengambil lelaki itu sebagai anak angkat.
Hubungan mendiang dan anaknya kembali jernih pada tahun 2010, malah setahun kemudian pihak pengadilan Perancis memerintahkan Bettencourt dijaga sendiri oleh keluarganya kerana sakit.
Kontroversi tidak terhenti di situ. Pengurus kewangannya, Patrice de Maistre pula dituduh menyalurkan wang mendiang Bettencourt, untuk kegunaan pilihanraya Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pada tahun 2007.
Kes eksploitasi ini berakhir pada Mei 2015 apabila lapan orang, termasuk Banier, didapati bersalah dan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak berjuta-juta dolar kepada keluarga Bettencourt.
Kini aset-aset mendiang Bettencourt termasuk semua sahamnya di syarikat L’Oreal diuruskan oleh anak perempuannya.
Salah seorang daripada dua cucunya, Jean-Victor Meyers menggantikan posisi mendiang neneknya di L’Oreal sebagai Timbalan Pengerusi.
Syarikat gergasi kosmetik tersebut mula diusahakan oleh Eugene Schueller, pada tahun 1909 dan kini tersenarai sebagai syarikat kosmetik terbesar di dunia. Norzalina Mohd Alias
Sumber: BBC News
This website uses cookies.