Hiburan

Wanita WAJIB Amal Gaya Hidup Sihat Untuk Kekal Cergas, Hawa Rizwana Syorkan Aktiviti Ini!

Nama pengacara serta personaliti TV Hawa Rizwana bukan lagi satu nama asing dalam industri hiburan tanahair.

Malah, Hawa merupakan salah seorang selebriti yang bukan sahaja sering menghasi kaca televisyen sejak mengambil alih tempat Neelofa sebagai pengacara program MeleTOP namun si cantik manis ini juga aktif dalam sukan berbasikal dan aktiviti sukan lasak.

Jika lihat di ruang akaun Instagram miliknya, setiap satu hantaran yang dimuat naiknya pastinya terselit tentang aktiviti-aktiviti melibatkan kecergasan ini.

Hawa Memang Suka Aktiviti Sukan Sejak Kecil Lagi

Menurut Hawa yang ditemubual secara eksklusif oleh NONA, hobi berbasikal sudah mula timbul semenjak dirinya masih kecil lagi.

“Waktu saya di Perlis dahulu, ketika saya masih berada dalam tahun 2 hingga 6, aktiviti berbasikal merupakan aktiviti wajib saya.

“Jadi ia merupakan salah satu gaya hidup sihat dipraktikkan dalam kehidupan harian saya,” katanya.

Namun, tambahnya, apabila sudah berpindah ke Kuala Lumpur, dia tidak berpeluang untuk melakukan aktiviti berbasikal kerana faktor kesibukan jalan raya yang merbahaya.

“Apabila saya dan keluarga mula berpindah ke Kuala Lumpur, ibubapa saya tidak membenarkan saya untuk berbasikal di kawasan Kuala Lumpur atas faktor keselamatan.

Tambahan pula saya seorang sahaja anak perempuan jadi, mereka lebih berhati-hati dalam hal ini,” jelasnya lagi.

Mula Aktif Lakukan Aktiviti Sukan Semula Sejak 2019

Ibu bapa saya yang terlalu menjaga sehinggakan saya nak sertai bola jaring dan boling pun tidak dibernarkan. Jadi, semasa di sekolah menengah, saya banyak menghabiskan masa dengan aktiviti menari sahaja.

Kongsinya lagi, dia kembali melakukan aktiviti berbasikal apabila dia sudah bekerja dan sudah mempunyai kenalan-kenalan yang turut sama melakukan aktiviti berbasikal.

Bagaimanapun, bermula dari tahun 2019, dia mula mengaktifkan dirinya dengan berbasikal di merata tempat termasuklah di kawasan Kuala Lumpur International Airport dan juga Desaru.

“Sejak 2019, bila dah ada kawan-kawan yang suka berbasikal, saya mula berkayuh di area Kuala Lumpur. Jadi, sebenarnya, minat berbasikal ini sudah lama ada di dalam diri sejak kecil lagi,” ujar Hawa.

Selain berbasikal, kini Hawa dilihat semakin sinonim dengan aktiviti sukan seperti Marathon, Bola Jaring dan aktiviti sukan lasak seperti menawan puncak gunung dan Hiking sejak menyertai program Real Men Malaysia: Wira Merah.

Patutlah, tengok Hawa ni sentiasa cergas dan bertenaga walaupun tak menang tangan menguruskan kerjaya. Kuncinya, adalah amalan gaya hidup sihat dan rajin bersenam agar badan kita bertambah stamina dan semakin cerdas!

Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Majalah Hijabista

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!

Sumber: Instagram Hawa Rizwana

Share
Published by
Haifa Nasir