
Mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kan? Putri Dahlia, anak kepada penyanyi legenda Nora Ariffin tidak menyangka lagunya menerima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records (MBOR).
Mensyukuri nikmat dan penghargaan yang diberikan, Putri mengucapkan rasa syukur menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya pada Sabtu.
Menurut Putri, lagu tersebut menerima anugerah bagi kategori The Most Streams Of A Spotify Song.
“Inilah saatnya… Alhamdulillah, hari ini 7 Julai 2023, Old Love menjadi lagu spotify yang paling banyak distrim di Malaysia dan kami mendapat anugerah dalam The Malaysia Book Of Records.Ketika lagu ini dihasilkan, Yuji berusia 19 tahun dan saya berumur 18 tahun. Hanya dua orang remaja yang mempunyai impian dan menyukai muzik.
“Tidak pernah menyangka saya akan mencapai apa-apa seperti ini, maaf saya agak emosi tetapi ini sangat besar untuk saya, terima kasih atas sokongan anda semua,” coretnya.
Dalam pada itu, Putri juga turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tidak berputus asa memberika sokongan kepadanya.
“Malaysia’s Record of Most Streams, segalanya terima kasih kepada anda semua yang menyukai lagu tersebut.Harap lagu ini telah mengubah hidup, membuat sebahagian daripada anda jatuh cinta. Kami berasa gembira dapat membuat lagu untuk semua orang.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada @yujikyunn untuk membuat kerjasama ini berlaku setahun yang lalu,” tulisnya.
Terdahulu, Putri pernah meluahkan rasa teruja apabila lagunya didengar oleh anggota kumpulan K-Pop terkenal, BTS Jungkook sekitar Mac lalu.
Sumber: Astro AWANI
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!

Pengalaman 13 tahun menjadi Presiden MERCY Malaysia mengasuh jiwanya menjadi lebih sabar, lebih memahami dan bertolak ansur. Bersama Nona, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus mencurahkan pengalaman hidupnya sebagai seorang pakar perunding perubatan, pekerja kemanusiaan dan presiden sebuah badan amal kesukarelawanan.
Biar tanpa publisiti kencang, takwim kerja Dato’ Dr Ahmad Faizal, 54 tahun begitu padat sekali. Ada-ada sahaja komitmen yang menanti hinggakan sukar menetapkan temu janji dengan Pakar Perunding Perubatan (Respiratori) itu.
Mujurlah di sebalik kesibukan, pengurusan MERCY Malaysia memberi kepercayaan untuk kami menyelit masa, menyelami lebih dalam jiwa lelaki kelahiran Kuala Lumpur yang kedua ibu bapanya berasal dari Perak itu.
Petang Ahad usai mempengerusikan retreat fizikal pertama MERCY Malaysia sejak bermula pandemik COVID-19, bapa kepada tiga cahaya mata ini bergegas bertemu kami.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Presiden MERCY Malaysia daripada Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada tahun 2009, tugas saya sebagai Presiden lebih menuntut komitmen masa dan fokus yang tinggi sebenarnya. Percaya tidak, tanggungjawab yang digalas seperti orang bekerja sepenuh masa.” Dato’ Dr Ahmad Faizal

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MERCY Malaysia atau singkatan Malaysia Medical Relief Society ini telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberi bantuan kemanusiaan.
Banyak bantuan perubatan serta kemanusiaan telah disalurkan apabila berlaku krisis dan bencana di peringkat antarabangsa mahupun di dalam negara.
Di bawah pimpinan Dato’ Dr Ahmad Faizal, pelbagai misi besar berjaya dilaksanakan antaranya yang terbaru, bantuan memerangi COVID-19 menggunakan kepakaran sedia ada.
Sejak pandemik melanda pada awal 2020, MERCY Malaysia tampil memberi bantuan kecemasan serta jangka panjang kepada Kementerian Kesihatan dalam pelbagai cabang untuk memudahkan operasi memerangi wabak COVID-19.
Tumpuan mereka jelas dalam menyediakan keperluan penting seperti katil, alat ventilator, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan sebagainya, serta meningkatkan aktiviti vaksinasi dan saringan.
Sebagai seorang mukmin, semua kerja yang dilakukan di dunia ini mestilah semuanya kerana Allah Taala. Tambah Dato’ Dr Ahmad Faizal, beliau juga memberi keutamaan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.
Kerja kemanusiaan harus ikhlas, bukan saja kerana Allah tapi kerana tanggungjawab sesama manusia.
“Walaupun organisasi ini mengalami banyak pertumbuhan dari segi kapasiti, keupayaan, kemampuan kewangan serta sumbangan staf sepenuh masa, tapi kami masih melakukan kerja-kerja secara sukarela.
Selain turun ke lapangan untuk beri bantuan, saya kira kerja-kerja merancang, membuat strategi dan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya yang melibatkan ramai pemegang taruh (stakeholders) amat mengambil masa yang banyak.
Dalam waktu yang sama, saya masih lagi berkhidmat sebagai pakar perunding di Hospital KPJ Damansara.
Dua tahun kebelakangan ini pula, saya terpaksa bergelut dengan wabak dan pesakit COVID-19 secara langsung.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sambungnya, beliau kini turut terlibat menangani pandemik di Malaysia sebagai seorang frontliner merawat pesakit COVID-19 sesuai dengan kepakaran sebagai pakar perunding respiratori.
Sebagai pemimpin MERCY Malaysia yang bergerak secara aktif membantu usaha-usaha mencegah COVID-19 di kalangan masyarakat, badan amal kebajikan ini juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ketinggalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.
Ketokohan Dato’ Dr Ahmad Faizal turut terlihat apabila beliau terlibat dengan jawatankuasa peringkat nasional untuk membantu kerajaan dalam memberikan nasihat, idea atau buah fikiran, terutama sekali kepada NADMA.
Selain menjadi pengerusi kluster kesihatan dan bahaya baru muncul (emerging hazard) yang sinonim dengan COVID-19, beliau juga menjadi ahli jawatankuasa berkenaan kerjasama hospital awam dan swasta (private-public partnership) dalam menangani isu yang sama.
“Saya juga salah seorang penyelaras yang terlibat dalam proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta di Lembah Klang.
Di sini kita bernasib baik kerana ada banyak hospital swasta yang sudi membantu di peringkat operasi. Jadi saya kira tak ramai orang di negara ini seperti saya yang mempunyai pengalaman serupa di semua peringkat.”
AKTIVITI
Jasa beliau yang sangat besar dalam dunia kesukarelawanan dan kebajikan Malaysia membuatkan lelaki ini diiktiraf sebagai penerima Nona Men’s Charity Award di acara Nona Superhero.
Tonton video ini saat beliau mengimbau kembali pengalamannya dalam dunia kebajikan sejak 18 tahun lalu…
“Saya bermula sebagai ahli sukarelawan biasa pada 4 Januari 2003. Masa tu saya baru menjadi pakar perubatan, setepatnya selepas menamatkan latihan kepakaran sebagai pakar perubatan dalam sub-bidang respiratori.
Tiada siapa daripada MERCY Malaysia yang mengajak saya secara formal. Tapi kerana minat yang mendalam, mungkin sayalah yang mengajak kawan-kawan saya masa tu di HUKM.
Kebetulan ada program induksi untuk ahli sukarelawan baru, jadi saya pun masuk sebab jauh di sudut hati, saya yakin sudah masanya orang Malaysia buat kerja kemanusiaan secara terurus dan sistematik sebegini.”
Aktiviti kemanusiaan banyak membawa Dato’ Dr Ahmad Faizal ke serata ceruk dunia. Antaranya ke Sri Lanka sewaktu banjir besar, ke Iran membantu mangsa gempa bumi, ke Sudan ketika konflik Darfur, ke Aceh semasa tsunami, Pakistan, Myanmar, Filipina, sempadan Turki-Syria, Syria, serta banyak lagi.
Timbul pertanyaan, sepanjang beliau bergiat aktif dengan aktiviti MERCY Malaysia, bagaimanakah penerimaan isteri dan anak-anak, tidakkah terhalang masa berkualiti dengan mereka?
“Sebenarnya isteri juga adalah ahli sukarelawan MERCY Malaysia dan kini masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan am swasta.
Anak-anak saya sejak kecil lagi, mereka selalu ikut beri bantuan kepada warga emas, fakir miskin atau mangsa banjir. Saya kira jiwa kemanusiaan sudah disemai sejak dulu dan mereka pun memahami minat kami dalam bidang kebajikan.”

Tidak mahu meletakkan sebarang garis akhir dalam kerjaya kemanusiaannya, Dato’ Dr Ahmad Faizal menyerahkan segala ketentuan masa depan di tangan Yang Maha Kuasa.
“Sehingga kini saya sangat suka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang saya ada dalam bidang kemanusiaan.
Cuma di MERCY Malaysia, mungkin akan tiba masanya nanti saya lepaskan jawatan ini supaya ada kesinambungan kepimpinan yang baru.
Menjadi harapan kami sejak 22 tahun usia MERCY Malaysia ditubuhkan, kami bukan saja mahu badan NGO ini berjaya di Malaysia tapi di peringkat serantau dan antarabangsa.”
IDOLA
Majoriti kerja kemanusiaan di luar negara bukan dilakukan secara sukarela, sebaliknya diuruskan secara profesional, umpamanya di Afrika dan Eropah.
Terdapat organisasi tertentu yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah Antarabangsa atau badan-badan NGO besar dari Barat untuk menjalankan misi-misi tertentu.
“Terdapat seorang tokoh yang saya kagumi iaitu mendiang William L. Swing yang merupakan seorang diplomat Amerika Syarikat.
Mendiang sampai ke umur 80 tahun pun masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di International Organization for Migration (IOM), sebuah agensi migrasi yang diletakkan di bawah PBB.

Mendiang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia dan baru saja menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2021 lalu akibat komplikasi COVID-19.
Apa yang saya kagumi, jiwa kemanusiaan itu begitu besar dalam dirinya sehinggakan mendiang menolak untuk menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyuruh ia diberikan kepada pesakit lain yang lebih muda dan memerlukan, walaupun beliau orang kenamaan.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Percaya bahawa kerja-kerja kemanusiaan mampu mengasuh nilai-nilai murni dalam jiwa manusia, Dato’ Dr Ahmad Faizal berpegang teguh kepada ajaran Islam bahawa setiap yang baik itu akan mendapat pembalasan yang baik juga di pengakhirannya.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Natrah Mat Jan
Solekan: Che Wann
Mila Jirin Tunjuk Kuasa Supermommy, Daki Puncak JABAL NUR Setinggi 642 Meter Sambil Dukung Anak!

Berat badannya hanya 42 kg tapi mampu membawa anak kecilnya, Arif Zikri sampai ke puncak Jabal Nur! Wow, macam tak percaya pun ada. Nampak badan saja kecil tapi semangat Mila Jirin… luar biasa.
Berkongsi kisahnya ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci April lalu, Mila yang selamat mendaki Jabal Nur pada 19 April lepas sekitar jam 1.14 pagi mengakui ia adalah satu kenangan indah yang tak mungkin dilupakan.
“Alhamdulillah Mommy telah berjaya naik ke puncak Jabal Nur sambil dukung Arif Zikri yang lena diulit mimpi. Ya Allah, Mommy pun bagai bermimpi tak sangka dapat bawa Arif sehingga ke puncak Gunung Cahaya pada aras ketinggian 642 meter! Memang mencabar tetapi Mommy tak putus asa!
Daddy pakai selipar jepun, jadi Mommy tak benarkan dukung Arif bahaya. So Daddy jadi pemantau Mommy. Tak dinafikan memang penat, Mommy 42kg + 9 kg Arif terasa bergoyang dan bergetaq juga lutut waktu nak turun gunung ni. Nak turun gunung lagi mencabar dari naik.
Walaupun ada tangga, tetapi tangganya tidaklah sekata (ada tinggi, ada rendah) dan bila makin ke atas, tangganya makin curam. Allahuakbar! Waktu Mommy dah separuh perjalanan, Mommy dah nak give up tetapi disebabkan waktu Mommy melawat malam tu adalah ziarah terakhir ke Jabal Nur kerana Jabal Nur akan ditutup untuk lawatan oleh kerajaan Arab Saudi, jadi Mommy terus positive!
Sambil mendaki sambil Mommy berselawat sambil berfikir ‘SubhanAllah, bagaimana Rasulullah SAW boleh sampai ke puncak tersebut tanpa tangga waktu itu dan bagaimana pula kudrat isteri baginda, Siti Khadijah yang saban hari menghantar makanan kepada Rasulullah SAW ketika baginda bersendirian di Gua Hira? SubhanAllah, Allah Maha Mengetahui.’
Sampai sahaja di puncak Jabal Nur, Mommy tak ke Gua Hira disebabkan kedudukan Gua Hira berada bawah sedikit dari puncak dan laluan untuk turun ke situ agak mencabar dan bahaya untuk Mommy bawa Arif bersama. Jadinya, Mommy tengok dari atas saja. Guanya kecil sahaja tapi ramai orang berasak-asak hendak masuk ke dalam. Ibunda dan Ayahanda tercinta dapat masuk ke situ. Alhamdulillah.
Dah berada di puncak, dah seronok ambil gambar dengan menikmati pemandangan yang sungguh indah (kelihatan Menara Jam). Kata Ustaz yang mengetuai rombongan kami, Ustaz Bismi Amerr Zainal, dulu sebelum Menara Jam dibina memang akan nampak Masjidil Haram dan Kaabah.
Apa-apa pun menang 1 kenangan yang indah dan moga nanti Arif dah besar, Arif dukung Mommy pulak naik Bukit Bendera pun jadilah.”
Rewang & Kenduri Kahwin Impian JANNA NICK, Suka Baca Novel & Mahu Kumpul Aset

Janna Nick suatu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan. Pelakon dan pengacara ini bijak merencana perjalanan karier seni yang diceburinya sehingga berada di kelas yang tersendiri. Malah wanita yang mempunyai nama sebenar Nurul Jannah Muner ini juga mempunyai rangkaian perniagaan miliknya.

Ketika mengadakan pertemuan dengan Janna Nick sedikit masa dahulu sempat diajukan bertanyakan tentang sudah tercapaikah matlamat hidupnya, jawabnya, “Kalau kata cukup ke tak memang tak cukup sebab saya kena jaga satu keluarga.

Kalau jaga diri sendiri memang lebih dari cukup tapi sebab saya kena jaga banyak orang. Saya kena pastikan adik-adik dan ibu hidup selesa. Tapi, saya bersyukur dengan segala rezeki yang diberikan kepada saya,” tutur Janna Nick lembut.

Bagaimana pula Janna Nick membahagikan masa? “Sekarang saya tak ada masalah untuk membahagikan masa. Semua perfect sekarang. saya kalau tak pergi mana-mana memang suka duduk kat rumah.
Saya juga seorang yang suka membaca. Dulu kalau sebelum bekerja dalam sebulan boleh habis satu buku. Sekarang mungkin dalam 3 bulan baru habis sebuah buku. Saya suka baca novel tebal-tebal. Sebab saya bersekolah di asrama, itu sebab dah terbiasa baca novel,” ujar bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA, Pendang ini.

Bagaimana me time mempengaruhi Janna Nick? “Saya rasa me time buat kita lagi tak stres. Me time akan buat saya lagi rileks, kerja yang kita buat akan jadi lebih elok. Kalau kita macam back to back kerja dan tak ada masa untuk diri sendiri at the end of the day mungkin kita boleh senyum saja,” kata wanita ini.

Janna Nick juga sudah mula urus kewangannya, “Saya mula urus kerjaya dan kewangan bermula apabila saya mahu beli rumah. Impian ini sudah tercapai bila saya berjaya beli rumah pertama lima tahun lalu. Saya punya azam dalam hidup nak beli rumah dan kumpul aset. Saya bukan jenis orang yang boros dan tak memilih jenama.

Satu lagi impian saya agar produk saya di terima di luar Malaysia. Memang saya nak go global dan fokus dalam bisnes, insyaallah,” bicara pemilik jenama White Fluffy dan Sephia by Janna Nick ini.

Kisah cinta di antara Janna Nick dan jejaka kacukan Pulau Pinang dan Switzerland, Dini Schatzmann bukan lagi rahsia. Bercerita tentang impian perkahwinannya, “Kalau boleh, majlis perkahwinan saya nanti saya mahu bersama orang-orang kampung memeriahkan majlis saya. Rewang, makan ramai-ramai dan kalau boleh jemputan pun terbuka. Misalnya tak cukup makanan, saya akan sediakan food truck sekali! itu impian saya,” katanya mengakhiri perbualan.