Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Anak gadis kepada bekas penyampai berita tersohor era 90-an, Azura Abdul Karim ini cantik manis orangnya. Bijak dalam akademik menjadi pelengkap kepada Sarah Amanda Sahrudin yang merupakan anak ke-4 dalam keluarga.
Sarah Amanda atau mesra disapa sebagai Yaya, merupakan lulusan universiti luar negara.
Namanya pernah menjadi tular sehingga menjadi bualan warga maya di atas kecemerlangan yang dikecapinya dalam pengajian.
Tidak dinafikan, Yaya seorang anak muda yang pandai berdikari selain ramah dan penyayang.
Di akaun Instagram, Azura berkongsi ucapan serta keistimewaan yang dimiliki oleh anak gadis kesayangannya itu sempena ulang tahun kelahiran yang ke-25.
“Anak perempuan pertama saya berumur 25 tahun. Sekadar berkongsi beberapa fakta tentang diirinya. Dia suka seni. Dia penggemar kopi. Dia sukakan bunga segar dan sangat teruja apabila menerimanya.
“Akhir sekali, dia seorang yang berjiwa besar dan pemurah. Semoga Allah Azzawajalla mengabulkan hajat dan doa mu. Jangan pernah berputus asa walau merasakan alam semesta berpaling dari mu. Kami sentiasa berada di belakang mu. Teruskan menikmati hidup ini. Sanah helwah princess @_sarahamanda
Love
Mommy
Pernah berkongsi kepada NONA, Yaya menyifatkan ibunya telah banyak berkorban untuk mereka sekeluarga dan dialah ibu yang terbaik.
“Kalau nak disenaraikan setiap pengorbanan ibu dari segi masa, wang dan kesihatannya terhadap anak-anak memang tak ternilai. Ibu dah buat yang terbaik dan lebih dari cukup. Ibu sentiasa dahulukan anak-anak berbanding dirinya sendiri.
“Sebab itulah saya berusaha bersungguh-sungguh. Kejayaan saya tak setanding dengan pengorbanan ibu selama ini. Ibu selalu ingatkan saya sentiasa kuat walau apa jua dugaan yang datang. Saya dididik untuk berfikir di luar kotak.
Kata ibu, ‘the sky is the limit’ and not just to make my parents proud but to make myself proud too and to prove myself that I can actually do the things that I thought I couldn’t.
“Pesan ibu, jangan lupa asal usul dan jaga solat sentiasa menjadi pegangan saya. Semua rezeki datang daripada Allah SWT. Kita cuma merancang tapi Dia menentukan.
Antara superpower ibu ialah kemampuannya menguruskan kerjaya dan keluarga. Penat macam mana pun ibu tak pernah tunjuk depan anak-anak. Setiap kali balik kerja ibu sentiasa buat kami sekeluarga gembira. She is the real definition of wonder woman! Wanita inspirasi, cekal dan berdikari.
WARISI KECANTIKAN IBU
“Ramai yang kata saya beruntung kerana bergelar anak kepada selebriti popular. Sejujurnya saya tak pernah pun ‘berlagak’ dengan status ibu sebagai public figure sebaliknya bangga bergelar anak kepada seorang wanita hebat. I could never be as beautiful and as strong as my mom. She really is a superwoman!
“Sejujurnya ibu memiliki kecantikan asli dan tak suka bersolek tebal-tebal. Ibu lebih gemar berbelanja untuk produk-produk penjagaan kulit yang bagus dan berkualiti.
“Petua mudah ibu ialah sentiasa fikir hal-hal yang positif. Jangan terlalu stres nanti cepat nampak tua,” kongsi Yaya.
Selain leboh fokus kepada keluarga, Azura turut mengusahakan bisnes miliknya iaitu decoupage gifts @decopatchtiffin by Azura Abdul Karim.
Kongsi Suasana Kampung Di Sebalik Studio Kayu, YouTuber MARBITTER Kini Terkenal Berkat Doa Ibu
Ketika ramai mengejar cita-cita di ibu kota, Marham Mohd Yusof pula memilih pulang ke negeri kelahirannya. 12 tahun bergelar anak perantau di Kuala Lumpur, pemuda ini memutuskan untuk berada di sisi ibu tercinta di Kuala Nerus, Terengganu.
Meninggalkan kerjaya ketika pandemik COVID-19, Marham percaya rezeki Tuhan ada di mana-mana.
“Saya fikir bila saya dah berusia nanti, saya akan pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama ibu dan menghabiskan sisa usia untuk melakukan semula perkara-perkara nostalgia semasa kecil.
“Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Benda itu (balik kampung) tak sampai saya pencen pun. Saya ingat mungkin ketika umur sekitar 40 atau 45 saya akan pulang.
“Ketika (awal) pandemik, saya bukan kehilangan kerja. Saya ada kerja, cuma hati ini terdetik, kenapa tidak, ini masa yang tepat untuk saya pulang dan melakukan apa yang saya suka,” kongsi Marham kepada Awani baru-baru ini.
Marham tidak sekadar pulang ke kampung tanpa sebarang perancangan. Menjaga ibu, Asiah Ngah adalah keutamaan buatnya. Mencari rezeki selagi berkudrat dipikul penuh tanggungjawab.
Pada tahun 2020 Marham memulakan studio kayu dengan konsep tradisional. Ia memaparkan budaya dan kehidupan kampung. Ketika itu, Marham sendiri tidak tahu apakah percaturan itu akan membuahkan hasil atau sebaliknya.
Anak bongsu daripada enam beradik ini hanya ‘bersenjatakan’ doa seorang ibu.
“Emak tak cakap panjang, dia tengok saya buat. Dia percaya dengan apa yang saya buat dan suka apabila saya berada di sampingnya.
“Untuk orang yang ada emak, doa ibu sangat penting. Saya sendiri, saya tulis doa apa yang saya nak. Saya bagi kepada emak, saya suruh emak baca setiap hari dan doakan saya.
“Sebab ibu adalah malaikat di dunia, kiriman daripada Tuhan. Saya minta emak doakan agar saya mendapat kejayaan di kampung. Tetapi bagi saya dan emak juga, konsep rezeki itu ada di mana-mana,” kongsinya.
BAWA BUDAYA KE MATA DUNIA
Setahun merancang kandungan dan melakukan penggambaran, video pertamanya disiarkan di media sosial ‘Marbitter’ pada 1 Januari 2021.
Langit tidak selalu cerah, Marham akui hampir berputus asa. Duit simpanan mencecah RM20,000 dilaburkan untuk bergelar ‘YouTuber’.
Hari demi hari, video yang dikongsi masih kurang mendapat reaksi daripada pengguna media sosial. Namun, semuanya berubah empat bulan kemudian apabila video ‘Marbitter’ mula tular.
Lebih istimewa, Marham turut menampilkan ibunya dalam kebanyakan video yang dihasilkan.
Dengan elemen kasih sayang kepada ibu, haiwan, hubungan dengan kawan-kawan serta rasa syukur, misinya adalah mahu kehidupan kampung diperkenalkan ke mata dunia.
“Macam ‘followers’ saya dari Indonesia dan tak pernah datang Malaysia, dia ingat Malaysia ini negara yang terlalu moden.
“Mereka cakap, ‘Oo ada lagi kampung rupanya di Malaysia’. Begitu juga orang Singapura yang rindukan suasana lama, sebab Singapura sangat dekat dengan orang kita. Jadi bila dia tengok video saya, dia rindukan suasana dulu yang mereka rasa sewaktu kecil.
“Inilah peluang yang saya cipta, untuk mengetengahkan budaya orang Malaysia. Saya bukan hanya mengetengahkan budaya orang Melayu, bahkan saya mengetengahkan budaya orang Malaysia – Cina, India, Kadazan-Dusun dan sebagainya,” tambah Marham.
BARANGAN LAMA DIGUNA SEMULA
Lesung batu, tempayan antik, tembaga, serta dapur kayu antara elemen tradisional yang ditonjolkan. Menurut Marham, semua barangan tersebut adalah milik keluarganya yang sudah lama tidak digunakan.
Dibesarkan sebagai anak petani, perkara itu menjadi kelebihan buatnya untuk memanfaatkan kebun-kebun yang dimiliki keluarga dan saudara-mara.
“Macam saya sendiri ada kebun cili, dan saudara pula ada kebun kacang dan timun.
“Bagi orang, semuanya ‘Marbitter’ ada tanaman… terung, kacang, tembikai, dan sebagainya. Tetapi sebenarnya, kadang-kadang saya tak perlu tanam pun semua itu, saya hanya pergi dan ambil.
“Semua itu berdekatan dengan rumah saya sebab ia milik saudara-mara saya,” katanya sambil mengakui bahawa saudara-maranya menyokong kerjaya dia ketika ini.
Dalam pada itu, Marham memaklumkan studio kayunya dijangka siap sepenuhnya sekitar sebulan lagi dan akan turut memberi peluang kepada para peminat untuk merasaikan pengalaman inap desa.
Bagi jangka masa panjang pula, dia merancang untuk memenuhkan kawasan sekitar rumahnya dengan pelbagai tanaman. Semoga Marham terus sukses dan tercapai segala impian.
Sumber: Awani
Kredit Foto: IG Marbitter
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Semangat Juang YB DATUK SERI RINA HARUN Cetus Inspirasi Buat Wanita Mendepani Cabaran
Genap setahun negara dilanda pandemik COVID-19, sudah pasti dalam tempoh tersebut ramai golongan wanita yang terjejas.
Pertemuan eksklusif bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Datuk Seri Rina Mohd Harun bersempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, terserlah kredibiliti dan keprihatinan beliau terhadap rakyat khususnya golongan wanita dan kanak-kanak. Ternyata beliau seorang yang sangat komited dalam setiap tanggungjawab yang diamanahkan.
Kini kebanyakan wanita terjejas dari segi kehidupan, pendapatan, rumahtangga dan sebagainya. “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran” bukan sekadar tema sebaliknya ia menyeru agar kita sama-sama bangkit. Segala cabaran dihadapi bersama dan saling menyokong antara satu sama lain.
Contohnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada wanita yang perlu bekerja dari rumah. Walau bekerja dari rumah mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Ini antara cabaran yang kebanyakan wanita perlu hadapi saat ini.
Baca perkongsian bicara Datuk Seri Rina Harun berkenaan tema Hari Wanita tahun ini dan sumbangan beliau yang mewakili ‘suara wanita’ di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
JIWA MUDAH TERSENTUH
“Sepanjang melaksanakan amanah pelbagai kisah suka duka wanita yang saya temui. Namun dua kisah wanita ini benar-benar menyentuh jiwa saya. Jika berada di tempat mereka belum tentu saya mampu mengharunginya.
Saya pernah bertemu dengan seorang wanita yang mana dia berhenti kerja kerana mahu menjaga 6 orang anak yang masih kecil. Hanya suaminya yang bekerja. Namun pada Ogos 2020 suaminya telah diberhentikan kerja dan dia diceraikan. Inilah dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Kisah ini benar-benar menyentuh hati saya.
Lantas saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan kepadanya. Kami berikan bantuan bulanan termasuk pekerjaan untuknya apa yang boleh dilakukan di rumah memandangkan dia perlu menjaga anak. Contohnya menjadi agen atau dropship. Walau duduk di rumah dia boleh menjana pendapatan. Nasihat saya kepadanya, sebagai wanita kita jangan mudah mengalah.
Satu lagi kisah mengenai seorang ibu tunggal yang mempunyai tahap pendidikan hanya darjah 6. Dia diceraikan suami dan tidak diberikan nafkah yang sepatutnya. Melalui program dan latihan bimbingan yang diberikan, dia mendapat kekuatan untuk pergi ke mahkamah demi mendapatkan haknya.
Dengan dokumen-dokumen yang disediakan sendiri dan tanpa diwakili peguam, dia fight di mahkamah. Akhirnya dia menang kes dan dapat apa yang dimahukan. Inilah semangat yang menyentuh hati saya sekaligus memberikan motivasi buat wanita-wanita lain.
Apa yang ingin saya sampaikan ialah wanita ini hatinya cekal. Wanita boleh bangkit menghadapi cabaran. Sebab itu kita perlukan kumpulan sokongan yang positif di kalangan wanita. Mereka perlu lebih berfikiran positif walaupun ada cabaran dalan hidup masing-masing.
Saya juga ada cabaran tersendiri namun kita perlu mengambil sesuatu itu sebagai pengajaran dan sama-sama bangkit. Sebagai wanita kita mesti sokong wanita. Apabila melihat sesuatu kita jangan mudah menjatuhkan hukum atau persepsi negatif kepada mereka. Usah ada niat hendak menjatuhkan kerana wanita perlu bersatu. Itu harapan saya sempena Hari Wanita ini.
INISIATIF KPWKM
Seperti mana disebutkan tadi ramai wanita yang terjejas dari segi pendapatan, kehilangan pekerjaan dan sebagainya. Ada juga yang diceraikan dalam situasi sekarang. Maka pelbagai isu yang dihadapi oleh wanita. Di pihak Kementerian kami memahami apa yang berlaku. Justeru, kami menyediakan bantuan khas ibu tunggal sebanyak RM300 yang diberikan secara one-off dan dinikmati oleh 150 ribu ibu tunggal seluruh Malaysia.
Tidak sekadar itu, kami turut mengadakan kolaborasi bersama kementerian-kementerian termasuk agensi-agensi kerajaan dan swasta. Contohnya kolaborasi antara Jabatan Pembangunan Wanita dan TalentCorp. yang menyediakan peluang-peluang pekerjaan khusus untuk wanita.
Seterusnya, dari segi tekanan emosi dan kehidupan pula kami wujudkan lebih banyak kumpulan psikososial. Bermula Mac 2020 kami mewujudkan Talian Kasih dan tele-kaunseling yang dikhususkan untuk mereka yang memerlukan pandangan dan bimbingan. Terdapat 700 kaunselor berdaftar dengan pihak Kementerian.
Pada tahun 2019 kami menerima 20-25 ribu panggilan setahun. Namun menjelang tahun 2020 apabila pandemik COVID-19 melanda angka tersebut meningkat ke 153 ribu panggilan. Kebanyakan panggilan bertanyakan tentang bantuan kebajikan.
Sebenarnya tidak semua orang ada tempat mengadu apatah lagi untuk membantunya. Mungkin seseorang itu malu untuk luahkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan. Namun apabila bersama kaunselor dia mampu luahkan apa yang dialami. Pihak kaunselor akan bimbing apa yang sepatutnya dilakukan. Kami tidak mahu mereka terus berputus asa. Kami ingin mencetuskan semangat juang kepada mereka melalui kaunseling.
Selain itu, Kementerian turut memperkenalkan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) atau Skuad WAJA bagi memberikan latihan dan bimbingan. Tahun lalu kami perluaskan lagi dari segi psikososial kerana ramai yang ada tekanan mental dan emosi. Bukan semua dapat menghadapi dugaan ini. Maka kumpulan sokongan itu penting dan tele-kaunseling akan ada di setiap daerah.
Norma baharu “Kita Jaga Kita” turut dipraktiskan dalam kehidupan masyarakat. Saya mahu mewujudkan masyarakat yang penyayang agar mereka ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling. Contohnya kes penderaan kanak-kanak. Kalau kita tinggal di satu perumahan kita terdengar suara kanak-kanak menangis atau mungkin ada perkara yang mencurigakan apa perlu buat? Adakah kita tidak akan ambil tahu sebab tidak mahu sibuk hal orang atau kita perlu bertindak seperti membuat aduan?
Tak bermaksud kita mesti ambil tahu semua perkara tetapi jika ada sesuatu perkara yang mencurigakan segeralah bertindak. Saya mahu rakyat sedar dengan hanya satu panggilan boleh menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak. Nyawa tidak boleh dijual beli. Bayangkan kanak-kanak itu anak kita. Apa perasaan kita? Maka, perlunya ambil berat kepada apa yang berlaku dalam masyarakat.
Tidak sekadar itu, sepanjang tahun 2020 melalui Jabatan Pembangunan Wanita kami telah menganjurkan 969 program yang disertai 400,438 wanita. Antara tujuannya memberi mereka kesedaran tentang hak undang-undang jika berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
Sebenarnya kita boleh ada rakan pembimbing di setiap komuniti dan masyarakat agar lebih ramai lagi psikososial dan Skuad WAJA. Ramai wanita yang terjejas maka kami mahu membantu mereka dari segi keusahawanan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga banyak memfokuskan kepada pemberian bantuan. 80% daripada peruntukan lebih kepada bantuan kebajikan setiap bulan.
Namun bagi saya ia belum cukup membantu dalam menyelesaikan masalah. Sebab itulah kita berkolaborasi dengan kementerian-kementerian seperti Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi Malaysia dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tujuannya untuk membantu wanita.
Contohnya, untuk tahun 2021 kerajaan memperuntukkan 30 juta geran taska sektor awam dan 20 juta geran untuk diberikan kepada syarikat-syarikat swasta yang mahu membuka taska. Apa yang dilaksanakan ini bagi membantu wanita kerana mereka juga seorang ibu.
Pada masa sama, kita mahu memperkasakan wanita dari segi ilmu undang-undang. Pada 6 dan 8 Mac 2021 kami adakan program untuk ibu-ibu tunggal sebagai persediaan apabila mereka ke mahkamah. Antaranya program bantuan guaman. Kami juga mahu melahirkan wanita yang apabila mereka ke mahkamah (mungkin tidak semua mampu upah peguam) mampu bercakap di hadapan peguam dan hakim dengan penuh keyakinan seterusnya menang kes.
AKTIVITI HARI WANITA
Aktiviti kali ini disambut dalam norma baharu. Antaranya Skuad WAJA, bantuan keusahawanan, kewangan dan program-program literasi undang-undang. Ini semua ke arah memperkasakan wanita sesuai dengan tema “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran” Hendak bangkit perlukan ilmu, kesedaran dan sokongan. Kami wujudkan program-program ke arah kebangkitan wanita.
Antaranya program bersama LPPKN dan Forum Perdana Ehwal Islam membincangkan topik “Mencari Khadijah”. Sambutan Hari Wanita tahun ini dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut diberikan anugerah-anugerah khas kepada wanita-wanita hebat yang memfokuskan kepada memperkasakan wanita.
HALA TUJU
Tahun 2021 buat pertama kalinya kadar bantuan bulanan di bawah JKM meningkat merangkumi pelbagai golongan. Contohnya, jika sebelum ini bantuan kanak-kanak RM100 seorang dan satu keluarga maksimum RM450, tetapi sekarang naik kepada RM200 bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah. Manakala RM150 bagi kanak-kanak berusia 7 tahun ke 18 tahun. Untuk satu keluarga pula RM1,000.
Untuk golongan OKU yang tidak bekerja jika sebelum ini menerima RM250 tetapi sekarang RM300 seorang. Bagi OKU yang bekerja pula sebanyak RM450. Untuk bantuan warga tua yang sakit terlantar sebanyak RM500. Bantuan-bantuan ini diberikan setiap bulan kepada mereka. Hampir 40 ribu keluarga menerima bantuan minimum RM1,000 sebulan. Saya betul-betul fight untuk mereka, alhamdulillah suara saya didengari.
Selain itu, kami mempunyai 192 program bantuan meliputi agensi dan kerajaan persekutuan. Ini tidak termasuk lagi di negeri, pusat zakat dan sebagainya. Kami pecahkan lagi bantuan ini kerana hendak melihat adakah bantuan yang diberikan itu benar-benar membantu mereka atau kita melahirkan rakyat Malaysia yang hanya bergantung kepada kerajaan. Inilah cerita yang hendak kami sampaikan tentang apa yang kami lakukan untuk rakyat.
Kami juga perlu ada satu agensi berpusat bagi pemantauan dan penilaian program bantuan sosial. Kami mahu selaraskan koordinasi antara bantuan sosial dan mewujudkan pangkalan data berpusat bagi bantuan sosial. Cadangan lain ialah pemberian bantuan sosial yang bersyarat agar bantuan itu benar-benar memberi manfaat kepada mereka.
Sebab itu kami telah memulakan Projek Rintis di Kedah, Perlis dan Melaka pada Januari lalu kolaborasi bersama Bank Islam. Kita hendak tahu apa produk yang mereka beli. Adakah mereka gunakan untuk keperluan asas. Mereka juga mungkin perlu menghadiri satu kursus contohnya keibubapaan.
Statistik menunjukkan kes penderaan kanak-kanak, mereka yang melakukannya adalah di kalangan ibu bapa kandung. Saya benar-benar terkesan dengan isu ini. Sedangkan anak-anak ini perlu dilindungi. Jadi, kami mahu pastikan bantuan yang diberikan kepada kanak-kanak tidak disalah guna. Tujuannya bagi memastikan anak-anak ini berjaya suatu hari nanti. Sebab itulah saya letakkan bantuan bersyarat agar dapat menyelesaikan masalah.
Saya mahu setiap program yang diusahakan ada exit program agar kita dapat mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan dan kesegeraan memproses permohonan bantuan. Kita permudahkan bukan merumitkan. Ada orang menganggap RM200 itu mungkin sedikit tetapi bagi yang lain pula dengan bantuan RM200 itulah duit makan dia dan sebagainya.
HARAPAN
Pertamanya, semua wanita perlu kuat dan kedua sistem sokongan. Wanita perlu saling menyokong antara satu sama lain. Dalam memperjuangkan sesuatu kita tidak boleh mengharapkan lelaki semata-mata sedangkan kita sendiri tidak bersatu. Seterusnya, saya mahu wanita-wanita terus progresif, produktif dan positif dalam menghadapi apa jua cabaran. Kita mahu wanita lebih maju ke hadapan.
Saya juga mahukan peruntukan-peruntukan di bawah kerajaan yang lebih responsif kepada wanita. Seterusnya semogar wanita di Malaysia lebih ramai yang berjaya. Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah pasti akan terus komited untuk memperkasakan wanita bukan sahaja dari segi program mahupun bantuan malah dari segi kelangsungan hidup ke tahap yang lebih baik.
Kita sedia maklum sejak pandemik COVID-19 golongan wanita turut terjejas. Statistik menunjukkan 73% daripada mereka lebih terkesan dan 60% daripadanya adalah daripada golongan B40. Sekarang ini golongan M40 pun 600 ribu orang. Sebelum ini mereka dari golongan M40 tetapi sekarang sudah tergolong dalam kumpulan B40. Ini menunjukkan semakin ramai yang jatuh miskin.
Wanita merupakan salah satu kumpulan sasar termasuklah golongan OKU, warga emas, kanak-kanak dan gelandangan. Walau apa jua keadaan sekali pun saya yakin akan ada peluang-peluang lebih baik. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan malah semua pihak.
Sebab itulah pihak KPWKM membantu mereka dengan pelbagai usaha antaranya bertemu kementerian-kementerian lain, syarikat-syarikat swasta dan sebagainya untuk mempromosikan the corporate shared value dan ini lebih kepada win-win situation,” jelas Datuk Seri Rina yang semakin cantik dan langsing.
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Datin Saidatulnisa Aminuddin
Busana: Man Kajang
Lokasi: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat
‘Kelihatan Kaya & Rezeki Sentiasa Lancar’ Membezakan ISTIDRAJ Atau Kurniaan Allah SWT
Kurniaan Allah SWT biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan solat dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu dinamakan sebagai kurniaan atau karamah.
Namun orang yang berterusan melakukan maksiat, tidak mengerjakan sembahyang lima waktu dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.
Bagaimana untuk membezakan antara istidraj dengan kurniaan Allah SWT?
“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Di dalam Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah (1/734), disebut maksud istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
Surah al-Qalam (44)
Al-Hasan berkata: “Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/251 dan Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)
Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: “Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur.” (Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)
Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)
Mulla Ali al-Qari berkata: Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipudaya. Benarlah firman Allah SWT: “سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ” yang membawa maksud “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 9/396)
Allah SWT berfirman:
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Maksudnya: Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan.
Surah al-An’am (44)
Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut, “Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Jalalain, 2/340)
Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:
خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipudaya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)
Syekh Zarruq berkata, “Wahai para murid, takutlah terhadap kurniaan-Nya kepadamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, di tengah-tengah kederhakaanmu terhadap-Nya berupa kelalaian dan kecuaian.” (Lihat Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 101)
Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Surah Ali Imran (102)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan