Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itu perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan kecantikan milik pasangan ibu dan anak ini. Selain mewarisi kejelitaan ibu tersayang, Aaradhya Bachchan turut berkongsi bulan kelahiran yang sama dengan Miss World 1994 tersebut.
Aishwarya dilahirkan pada tanggal 1 November 1973 manakala Aaradhya pula lahir pada 16 November 2011.
Genap berusia 11 tahun, puteri tunggal kepada pasangan selebriti ternama India ini sememangnya seorang kanak-kanak yang bertuah. Dia bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik seperti ibunya malah dilahirkan dalam keluarga berada dan terkenal.
Malah, kelibat Aaradhya juga sering kelihatan ketika menemani Aishwarya ke majlis-majlis fesyen.
Biarpun masih kecil namun isteri aktor Abhishek Bachchan ini bijak mengenakan pakaian yang bergaya dan sesuai untuk anak tersayang. Apatah lagi, sejak kecil lagi cucu Amitabh Bachchan ini juga sudah sering dibawa ke acara-acara hiburan.
Dek kerana sering melihat ibunya beraksi di depan lensa kamera, Aaradhya tidak kekok memberikan pose yang pelbagai. Dah namanya pun anak bekas ratu cantik, pasti ‘darah seni’ ibu dan ayah sudah sebati mengalir dalam diri anak kecil berkenaan.
Bersempena kelahiran ke-11 anakanda tersayang, Aishwarya menitipkan ucapan ringkas namun penuh makna buat Aaradhya.
“My love. My life. I love you, My Aaradhya.”