Siapa yang tak kenal Mr. Bean? Generasi X dan Y mesti ingat, kan? Mimik mukanya yang lucu, lurus dan tak masuk akal selalu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak melihat telatah lelaki Inggeris itu.
Namun realitinya, Rowan Atkinson (62 tahun) bukan saja menyerlah sebagai pelakon dan pelawak semata-mata, malah berbakat sebagai penulis skrip teater. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai antara 50 Pelakon Lawak British dan 50 Komedian Terbaik Di Dunia.
Penerima darjah Commander of the Order of the British Empire (CBE) itu pernah mengahwini Sunetra Sastry, seorang jurusolek di BBC pada Februari 1990 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ben dan Lily. Pasangan ini telah pun bercerai pada tahun 2015.
Kini perhatian peminat mula teralih pada Lily Atkinson, 20 tahun yang sangat berbakat dalam bidang seni. Gadis ini pernah membintangi beberapa filem bersama bapanya, termasuk Mr. Bean’s Holiday dan Johnny English Reborn.
Kecantikan Lily sememangnya luar biasa. Tak mekap pun cantik sangat. Tapi meskipun sudah menempa nama dalam bidang perfileman, Lily sebenarnya bercita-cita ingin menjadi seorang penulis lagu. Dia juga suka menyanyi dan menari, serta merupakan seorang penghibur seni yang sangat baik.
Namun di sebaliknya, tak ramai yang tahu bahawa anak dara Mr. Bean ini terpaksa bergelut untuk membina nama sendiri dalam dunia seni. Reputasi bapanya yang tersohor langsung tidak membantu gadis ini berjaya dengan mudah. Menurut The Sun UK, Lily bermula dari bawah; menyanyi di pertunjukan kecil dan gigs, serta menjalani latihan kabaret.
Dalam satu pertunjukan Lily di The Pheasantry, Chelsea tahun lalu, bapanya dikatakan tertidur sewaktu menonton persembahan anaknya. Rowan Atkinson juga dikatakan sanggup berbelanja hingga £16,000 untuk membantu Lily merealisasikan cita-citanya sebagai penyanyi jazz.