Nur Zatil Husna Zaharullai, graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim pada Majlis Konvokesyen UiTM kali ke-97 baru-baru ini.
Memetik perkongsian kepada Sinar Bestari, anugerah itu diberikan atas kecemerlangannya dalam bidang akademik jurusan Sarjana Muda Bahasa Gunaan Bahasa Arab Komunikasi Profesional.
Ia merupakan pencapaian yang membanggakan bukan sahaja buat Nur Zatil tetapi seluruh ahli keluarga setelah berhempas pulas menuntut ilmu selama tiga tahun pengajian.
Nur Zatil ketika dihubungi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terujanya lebih-lebih lagi saat menceritakan detik-detik manis ketika menerima anugerah tersebut dari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, dengan penerimaan Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim ini membuktikan bidang pengajian Bahasa Arab tidaklah sukar seperti yang dikatakan masyarakat.
Malah, ia satu perjalanan yang menyeronokkan apatah lagi jurusan yang diambilnya itu lebih mengutamakan kerja-kerja amali berbanding teori.
“Jurusan ini lebih mengutamakan ‘carry marks’ yang memerlukan kami sebagai mahasiswa untuk aktif membuat video atau menemu ramah orang Arab.
“Bagi saya, ia satu pengalaman bermakna dan memberi satu lagi pengalaman baharu dalam menambah baik kemahiran diri sebagai ilmu yang boleh digunakan di alam pekerjaan.
“Ia membuktikan bidang pengajian ini tidak menumpukan seseorang untuk mahir Bahasa Arab semata-mata tetapi membuka lebih luas bidang pekerjaan lain antaranya pembaca berita Bahasa Arab, pelakon Bahasa Arab atau cef masakan Arab,” ujar Nur Zatil Husna.
Tambah anak keempat dari lima beradik ini lagi, mempelajari Bahasa Arab adalah satu kepentingan buat mereka yang beragama Islam memandangkan ia adalah bahasa al-Quran.
Justeru, sebagai seorang Muslim hendaklah menguasai bahasa syurga itu yang mana ia juga adalah bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian.
“Sayang kalau kita mahir bahasa lain tetapi tidak Bahasa Arab memandangkan setiap hari kita menggunakan bahasa tersebut.
“Contohnya dalam solat dan ketika memulakan aktiviti harian dengan membaca doa-doa. Dari situ sebenarnya kita sudah boleh sedikit demi sedikit menguasai Bahasa Arab,” tambahnya.
Nur Zatil Husna yang kini bekerja sebagai pembantu penerbit Bahasa Arab, penyampai berita dan wartawan Bahasa Arab TV Al-Hijrah turut berkongsi sedikit tip buat mereka yang berminat untuk menceburi bidang pengajian bahasa tersebut.
Katanya, dalam apa jua bahasa yang diceburi praktis melalui bercakap, menulis, membaca dan mendengar amat penting sebelum menguasai sepenuhnya sesuatu bahasa.
Bagi Bahasa Arab, Nur Zatil memaklumkan perlu kerap berlatih dan cuba bercakap dalam bahasa itu walaupun salah.
“Jangan malu untuk cuba berkomunikasi dalam Bahasa Arab biarpun salah sebab kalau kita tidak praktis, kita sendiri yang akan lupa.
“Bila berjumpa dengan rakan-rakan cuba berbual dalam bahasa tersebut walaupun ada sesetengah orang yang akan kritik dan abaikan stigma begitu,” tuturnya.
Selain itu, Nur Zatil kerap membaca al-Quran. Melalui pembacaan penggunaan bahasa seperti tajwid, makhraj huruf dan cara sebutan dapat dibetulkan.
“Tidak mengapa jika salah, itu adalah proses pembelajaran. Yang penting kita berani untuk mencuba,” ujarnya.
This website uses cookies.