Saat meneroka ke segenap ruang kediaman ini, umpama berada di ala Victoria gelap yang penuh dengan karakter lagi mewah. Dinding pemisah yang diperbuat daripada kaca jernih, berbingkai kayu berbentuk kekotak umpama sebuah kediaman tudor.

IKLAN

Seni hias dalaman yang disediakan oleh pasukan pereka dari Motto Designs Sdn Bhd ini bijak bermain dengan ruang. Setiap sudut pasti ada ‘kejutan’.

RUANG TAMU

Ruang tamu unit kondo ini dihias penuh elegan. Antara yang mencuri perhatian ialah kemasan lantainya yang diwarnai dengan rona hitam berkilau mewah di samping pemilihan sofa utama yang ringkas bersaiz dempak serta moden.

Settee hitam berkilat yang elegan seperti seekor kuda hitam ini tidak pernah tewas mencuri pandang setiap kali melintas di ruang ini. Pintu gelangsar di belakangnya juga disempurnakan dengan langsir rona jingga polos yang memenuhi ruang.

Sebuah kerusi santai bersama ottoman Herman Miller Eames menjadi taruhan menyerlahkan sisi ruang yang ekslusif. Memilih rona terang agar ada keseimbangan dan sedap mata memandang. Jika diperhatikan, suai padan di ruang ini cukup menarik umpama tiga generasi berpadu menjadi satu.

Jika bijak memanipulasi ruang yang ada, kita mampu memiliki ruang yang cantik biar tidak terlalu luas. Kuasa minda dan penglihatan cukup kuat untuk memberi impak positif dan rasa senang jika kena dengan caranya biarpun bermain dengan rona taboo.

RUANG DAPUR DAN MAKAN BERSATU

Masih lagi konsisten dengan rona hitam. Menariknya, ruang dapur dihias dengan dinding cermin menjadikannya lebih luas. Biar hitam, tetapi ruang tetap elegan kerana rekaan pencahayaannya yang menarik. Ruang makan dan dapur disatukan dengan penuh gaya. Pereka memastikan ruang memasak mendapat pencahayaan yang terang. Sedikit sebanyak menjadikan kesan pencahayaan di ruang makan tampil menarik.

TIP DEKORASI

  1. Elak meletak banyak perabot dalam ruang yang kecil kerana membuatkan ruang nampak padat, malah sukar untuk bergerak.
  2. Jika anda masih mahu guna perabot bersaiz besar dalam ruang kecil, pastikan hanya perabot itu saja diletakkan dalam ruang tersebut.
  3. Sebaiknya guna material ringan dan berwarna lembut. Maka, simbahan cahaya yang menerangi ruang menghasilkan pandangan yang luas.