Setiap wanita pastinya menantikan lamaran daripada sang kekasih untuk menjadikannya sebagai satu peristiwa yang begitu penting dalam hidup. Apatah lagi jika dilamar dengan penuh romantis. Pastinya momen indah itu sukar untuk dilupakan.
Baru-baru ni, tular di media sosial video seorang lelaki yang juga merupakan fitness youtuber terkenal dari New Zealand, Josef Rakich melamar kekasih hatinya Mimi untuk hidup bersama selamanya.
Bukan setakat lamaran biasa-biasa saja ya. Selain dilamar dengan cincin berlian mewah yang ditempah khas, Mimi juga turut mendapat kejutan hadiah sebuah kereta Range Rover pink yang tertulis perkataan “Will You Marry Me?”
Menurut Josef di laman youtubenya itu, pink merupakan warna kesukaan Mimi dan sebenarnya dia amat benci dengan kejutan.
“Kereta kegemaran Mimi merupakan Range Rover dan warna kegemarannya ialah pink. Jadi, saya dapatkan dia sebuah kereta Range Rover berwarna pink khas untuknya walaupun sebenarnya dia sangat benci akan kejutan.”
Tapi, kalau dah dapat kejutan yang serba mewah macam ni siapa yang tak suka, bukan? Josef turut menyewa keseluruhan kawasan Eden Park Stadium hanya untuk merealisasikan kejutan lamaran tersebut. Mana yang tak tahu, Eden Park Stadium merupakan stadium yang paling besar di New Zealand!
https://www.youtube.com/watch?v=z1z0IPae7pE
Tuhan ‘Pinjamkan’ Suami Hanya Lima Tahun, NOOR BAZLIN Luah Rasa Pilu Besarkan 3 Anak Kecil Sendirian!
“Setiap hari, setiap saat saya amat merindui arwah. Setiap kenangan manis mahupun pahit bersamanya masih segar dalam ingatan.” Begitulah luahan jiwa seorang balu, Noor Bazlin Mohammad atau Bazlin, yang kehilangan suami buat selama-lamanya. Lima tahun sahaja wanita ini ‘dipinjamkan’ seorang suami yang sangat penyayang serta bertanggungjawab terhadap keluarga.
Perginya meninggalkan kesan yang sangat mendalam apatah lagi Bazlin kini harus menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada tiga zuriat berusia 5 dan 3 tahun serta seorang bayi berusia 11 bulan.
September tahun lalu kita digemparkan dengan satu kisah tragis yang mendapat liputan meluas media tentang arwah suaminya, Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat bersama seorang rakan meninggal dunia dalam sel tahanan tentera akibat didera di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Setiawan, Perak.
Kedua-dua mangsa dipercayai dipukul bertubi-tubi menggunakan objek keras sehingga mengalami sesak nafas dan pendarahan serius di bahagian paru-paru.
“Hari-hari pasti bergenang air mata apabila mengenangkan detik itu. Tetapi seboleh-bolehnya saya tak mahu menangis depan anak-anak. Saya tak mahu mereka lihat saya lemah. Sebab itulah saya ambil keputusan untuk berpindah ke Kelantan untuk membina hidup baru bersama anak-anak.
Sebelum ini saya bertugas di Klinik Kesihatan Datuk Keramat. Terlalu banyak kenangan saya bersama arwah di Kuala Lumpur. Saya rasa lebih kuat jika dekat dengan keluarga di kampung,” luah wanita berusia 29 tahun ini yang bertugas sebagai Jururawat Masyarakat.
SAHABAT BAIK DR NOOR DAYANA
Bukan sekadar bergelar rakan sekerja, Bazlin juga bersahabat baik dengan isteri pertama kepada penerbit dan aktor terkenal, Ashraf Muslim iaitu Dr Noor Dayana Lokman. Keakraban mereka bermula sejak tahun 2016 sehinggalah kini.
“Kami mula akrab semasa saya bertugas di Klinik Kesihatan Datuk Keramat kerana berada di dalam unit yang sama iaitu Ibu & Anak. Dr Noor Dayana seorang sahabat yang sangat ikhlas dan jujur. Saya masih ingat lagi, semasa saya maklumkan tentang kematian suami, dia terus datang walaupun sudah lewat malam untuk melawat saya di rumah. Ketika itu saya memang tak jangka pun dia akan datang dan berikan sumbangan buat saya dan anak-anak.
Dr Dayana juga berpesan supaya saya banyak bersabar dan tabah menerima ujian dari Allah SWT selain jaga anak-anak dengan baik. Malah, dia juga menyakinkan saya untuk tabah melalui ujian ini kerana dia tahu saya kuat.
Saya bersyukur dikurniakan seorang sahabat yang sangat baik seperti Dr Noor Dayana. Saya juga sangat bangga dengannya kerana dia bukan saja seorang yang sangat baik tetapi juga lambang wanita yang tabah walaupun sikapnya lemah lembut dan sopan.
Sepanjang mengenali, Dr Noor Dayana tak pernah membezakan pangkat mahupun meninggi diri. Kali terakhir kami berjumpa ialah ketika dia meraikan satu majlis istimewa bersempena dengan perpindahan saya ke Kelantan.
Kini kami masih lagi berhubung dan saling bertanya khabar melalui telefon. Nak berjumpa belum ada rezeki kerana masing-masing jauh dan sibuk dengan tugas,” kongsi Bazlin yang turut menjadikan ibunya yang juga seorang ibu tunggal, sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan hidup.
Buat Bazlin, NONA kongsikan kiriman kata-kata semangat daripada Dr Noor Dayana.
“Sejak Bazlin berpindah ke Kelantan, rasa sunyi klinik. Bazlinlah penghibur kami di sini kerana banyak cakap. Saya harap setelah apa yang terjadi, Bazlin tetap kuat menempuh hari-hari yang mendatang.
Besarkan anak-anak sehingga berjaya di dunia dan akhirat. Allah SWT memilih Bazlin sebab Dia tahu Bazlin mampu menghadapi dugaan tersebut.”
Romantiknya! Meski Diuji EBIT LEW Masih Sempat Buat ‘Surprise’ Untuk Isteri Tersayang
Baru-baru ini nama pendakwah terkenal Ebit Lew kini menjadi ‘panas’ selepas isu dirinya didakwa menjadi ‘penunggang agama’ selepas konten videonya bersama seorang pempengaruh media sosial Indonesia, Mondy tular dan hangat diperkatakan.
Meskipun dikecam, namun Ustaz Ebit Lew dilihat langsung tidak terusik dengan apa yang berlaku malah beliau dilihat meraikan hari istimewa bersama isteri tercinta dan anak-anak, baru-baru ini sehingga menjadi perhatian warganet.
Menerusi hantaran dikongsikan di Instagramnya, Ebit dilihat memuat naik sebuah video meraikan ulang tahun kelahiran isteri tercinta dikenali Farah dengan menyatakan penghargaan di skrin tirai LED pada sebuah bangunan.
Tertera perkataan Happy Birthday dan Bidadariku Farah pada skrin bangunan tersebut, pemilik nama Ebit Irawan Ibrahim Lew ini sempat meluahkan rasa syukur kerana memilik seorang isteri yang sentiasa bersamanya sama ada waktu susah mahupun senang.
“Sentiasa kata ujian kerana Allah sayang. Semua Nabi Nabi diuji Allah. Begitulah hidup orang beriman. Cukuplah Allah bersama kita selamanya. Terima kasih melahirkan anak-anak. Empat kali melahirkan anak, empat kali mati. Sakit. Allahuakbar,” tulisnya.
Ebit yang juga usahawan berumur 38 tahun ini juga berharap agar hubungan mereka bukan sahaja hanya bahagia di dunia, tetapi di akhirat juga, InsyaAllah.
Sambutan istimewa tersebut turut diraikan bersama anak-anak tercinta di sebuah restoran dalam sambil dipenuhi dengan kelopak bunga mawar memenuhi segenap ruang. Romantik juga Ebit Lew ini kan!
Untuk rekap, Ebit Lew berkahwin dengan cinta hatinya pada 1 Ogos 2008, dan kini dikurnia 4 orang cahaya mata.
“Today Is Our Third Wedding Anniversary,” CHE PUAN SOFIE Bahagia Jadi Isteri Tengku Mahkota Kelantan!
Alhamdulillah, tanggal 19 April 2022 genap tiga tahun usia perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bersama isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson.
Mengimbas detik bersejarah pasangan diraja ini, YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz dan Che Puan Sofie melangsungkan majlis pernikahan pada 19 April 2019 dalam suasana ringkas tetapi meriah. Istiadat pernikahan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan.
Bersempena ulang tahun perkahwinan ke-3, Che Puan Sofie berkongsi foto persandingan ketika beliau menyuapkan kek kepada suami tercinta. Menerusi posting tersebut juga, Che Puan Sofie memberitahu, “19 April, today is our 3rd wedding anniversary. The 3rd wedding anniversary is known as the leather anniversary.”
Che Puan Sofie yang berasal dari Sweden ternyata berjaya menambat hati khalayak dengan penampilan dirinya yang anggun dan sopan. Biarpun bukan dilahirkan di Malaysia dan menjalani perbezaan budaya sebelum bergelar suri hati Tengku Mahkota Kelantan, namun beliau bijak menyesuaikan diri.
Misalnya, ketika awal perkahwinan dan pertama kali muncul di khalayak apabila mengikuti Tengku Muhammad Fa-iz Petra mengunjungi rakyat Kelantan yang terlantar sakit dan kurang bernasib baik.
Waktu itu, Che Puan Sofie baru empat hari bergelar isteri dan menarik perhatian ramai dengan penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos.
Begitu juga ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyaksikan Che Puan Sofie hadir bersama Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Setia berada di sisi suami tercinta, beliau kelihatan cukup anggun dalam persalinan kebaya labuh songket dan selendang kuning.
Pada sebelah malam pula ketika Majlis Santapan Diraja, Che Puan Sofie menggayakan baju kurung emerald green yang digandingkan dengan selendang rona senada.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit.
Dalam sambutan Ramadan kira-kira tiga tahun lalu, Che Puan Sofie pernah menyantuni orang ramai dan membuat jualan amal meat ball serta cinnamon bun hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan Kota Bharu.
Difahamkan beliau menggunakan sebanyak 7 kilogram daging untuk jualan meat ball tersebut di samping tidak melepaskan peluang menyediakan juadah berbuka buat suami tercinta. Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga YTM Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie.