Bagi memudahkan pengguna jalan raya khususnya pelancong asing yang datang ke Jakarta sempena Sukan Asia 2018, aplikasi navigasi Waze melancarkan program suara terbaru yang menggunakan suara selebriti cantik Indonesia, Dian Sastrowardoyo. Uniknya, aplikasi Waze di negara jiran ini bukan hanya menggunakan Bahasa Inggeris bahkan turut diprogramkan ke dalam Bahasa Indonesia.
Navigasi suara Dian ini juga hanya dilancarkan sepanjang temasya sukan terbesar negara Asia ini berlangsung iaitu dari 18 Ogos hingga 2 September 2018. Sesuatu yang baru tu! Tambahan lagi, bukan calang-calang orang boleh terpilih. Pastinya Dian memenuhi kriteria yang diinginkan.
Selepas dengar sorotan suara Dian di dalam aplikasi Waze khas untuk Sukan Asia Ke-18 Jakarta – Palembang seperti yang dimuat naik aktres Ada Apa Dengan Cinta ini … ia ternyata mengujakan para peminat dan rakyat Indonesia. Rata-rata mereka mengakui kerap menggunakan Waze sejak mengetahui perkhabaran ini meskipun hanya memandu dalam jarak yang singkat. Mesti masing-masing pun rasa ceria seolah-olah ‘ditemani’ wanita cantik ini sepanjang perjalanan.
Sebelum tiba Sukan Asia pada 18 Ogos lalu, rupa-rupanya Dian turut dipilih sebagai Pembawa Obor Asian Games 2018 di kota Solo, Jawa Tengah. Ia diadakan sempena acara Kirab Obor Asian Games 2018 yang memerlukan Duta Samsung ini merentasi kota berkenaan sejauh 500 meter.
Jelas Dian, sedar akan kemampuan diri.. dia sudah mempersiapkan diri dengan aktiviti kecergasan seperti latihan lari seminggu tiga kali sebelum menjelangnya acara itu pada 19 Julai lepas. Dengan adanya penglibatan selebriti dalam acara tersebut, secara tidak langsung dapat memupuk minat bersukan dan meraih perhatian masyarakat datang ke stadium untuk menyokong kontinjen negara masing-masing. Semangat wanita macam inilah yang kita mahukan!
Sumber: Instagram Dian Sastrowardoyo
This website uses cookies.