“Ya, Anak Aku Kini Bekas BANDUAN,” Luah Erma Fatima Tentang Anak Ketiganya

Tiada seorang ibu pun mahu anak kesayangannya menghabiskan masa remaja di dalam tirai besi. Namun, apabila sudah menunaikan tanggungjawab memberi segala ilmu di dunia dan di akhirat, anak itu sendiri yang bakal mencorakkan kehidupannya.

Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anaknya memilih jalan hidup yang berliku. Erma Fatima begitu berani berkongsi di media sosialnya mengatakan anaknya seorang bekas banduan.

Kongsi Erma, “Ini ANAK AKU yang ke-3. Dari umur dia satu hari aku pelihara dia. Aku berikan yang terbaik semampu aku. Sekolah..agama..kasih sayang…meskipun banyak kekurangan aku.

Berbagai dugaan aku terpaksa lalui untuk besarkan dia. Dan satu hari atas percaturan orang tertentu anak aku kembali ke pangkuan ayah kandungnya.

Hanya Allah yang tahu betapa hancurnya hati aku ketika itu. Dan Mei 2016 aku mendapat berita dia ditangkap polis dan dipenjarakan. Sekali pun aku tak pernah jengok dia di penjara kerana aku kecewa..sedih..hancur hati ini…hanya keluarga lain yang pergi menziarahi dia.

Semua di dalam keluarga aku menyangka aku dah buang dia dari hidup aku. Dan hari ini dia keluar dari penjara. Anak-anak aku yang lain jemput dia di penjara dan bawak pulang ke rumah. Semua takut aku tak terima dia. Apa pun aku masih ibu dia walaupun aku tidak melahirkannya…Walaupun dia tinggalkan aku..hancurkan hati aku TAPI aku tetap ibu dia. Ye ANAK AKU kini bekas seorang BANDUAN.

Atas izinnya aku ingin berkongsi pengalaman ini dengan semua. Bila aku minta izin dia tanya aku. “Mama tak malu ke bagi tahu orang anak mama bekas banduan?”. Aku cakap aku tak pernah malu memiliki anak yang dikurniakan Allah seperti apa pun dia kerana itulah dugaan paling besar dalam hidup aku yang aku terpaksa tempuh.

Aku berkongsi semua ini bukan kerana aku mahukan simpati…Aku mahu berkongsi dengan semua anak-anak muda di luar sana tentang realiti hidup. Aku mahu keluarga yang memiliki anak-anak seperti ini juga mendapat sedikit kekuatan dari cerita aku ini. Itu saja. Nanti aku akan cerita lagi kenapa dan mengapa dia masuk penjara,” kongsi Erma Fatima.

Kredit foto: Instagram @ermafatima

Share
Published by
Hamizatul Maizan