KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Baginda Raja United Kingdom, Raja Charles III, di Istana Buckingham, London, United Kingdom semalam (12 Oktober 2022). Kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, dari 10 Oktober hingga 16 Oktober 2022.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pada sesi kunjungan hormat itu yang berlangsung selama 40 minit bermula pada jam 3.00 petang waktu tempatan, Baginda Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua.
Baginda Raja Charles III dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dan UK termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Battersea Power Station, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, yang akan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda selepas sesi kunjungan hormat itu.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan Baginda Raja Charles III. Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.
Kunjungan hormat ini, yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan 65 tahun lalu.
Pada 18 September 2022 lalu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Bersama Baginda Raja Charles III yang telah dihoskan oleh Baginda di Istana Buckingham.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman negara Baginda Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey pada 19 September 2022 lalu.
Sumber dan Gambar: Instagram (@istana_negara)