YM Engku Dayana Athirah Engku Mohd Suhaimi ini atau mesra disapa sebagai Engku Athirah merupakan seorang yang sederhana dan merendah diri. Wanita berusia 31 tahun ini memiliki 2 cahaya mata perempuan iaitu Puteri Mawar Nur Mustika Salatul Kamar berusia 5 tahun dan Puteri Melur Nur Kesuma Salatul Kamar yang baru 2 tahun.
Menyingkap susur galur keluarga, Engku Athirah dilahirkan di Kuala Lumpur namun dibesarkan di Serdang, Selangor. Engku Athirah berketurunan kerabat Pahang yang merupakan anakanda kepada pasangan Engku Mohd Suhaimi dan Tengku Norhayati.
Terdahulu, Engku Athirah pernah berkhidmat di sebuah syarikat semi kerajaan sebagai Penolong Pengurus selama setahun sebelum kini bergelar suri rumahtangga sepenuh masa.
BERHENTI KERJA
“Sejujurnya, bukan pilihan saya untuk menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Sebelum ini saya pernah bekerja dan lebih selesa mencari duit sendiri. Saya pernah bekerja sebagai promoter, kemudian beralih ke bahagian pentadbiran di sebuah syarikat mengendalikan urusan permit dan pasport warga asing.
Setelah berumah tangga suami lebih suka saya tak bekerja kerana mahu saya menjaga sendiri anak kami. Walaupun pada mulanya agak kekok namun lama kelamaan menjadi biasa.
Maklumlah dah biasa bekerja, ada duit sendiri dan masa untuk diri sendiri tiba-tiba berubah secara total. Walau penat tiada istilah cuti. Saya sangat kagum dengan para ibu yang mempunyai anak ramai serta mampu menjaganya dengan baik sehinggalah mereka berjaya dalam kehidupan.
Jika dibandingkan dengan saya yang baru ada 2 anak pun sudah keletihan. Kadangkala tidak terbuat semua kerja rumah dalam sehari. Menangis pun sudah tak terkira banyaknya. Tidak dapat rehat secukupnya, tidur pun tidak lena.
Banyak yang saya masih belajar dan ada kekurangan. Walaupun saya bukan ibu yang sempurna namun tetap mahukan yang terbaik buat anak-anak. Saya juga seorang ibu yang paranoid sehingga terpaksa membawa kesemua barang keperluan anak walau ke mana sahaja saya bawa mereka keluar. Selalu jugalah kena tegur dengan adik beradik saya dek kerana sikap paranoid ini,” kongsi Engku Athirah.
PEKA ISU WANITA
“Antrara isu wanita yang sering menjadi perhatian saya ialah perbandingan antara wanita berkerjaya dan suri rumahtangga sepenuh masa. Seharusnya, kita perlu sama-sama saling menyokong walau apa jua keputusan seseorang wanita.
Setiap orang mempunyai kisah hidup yang berbeza begitu juga dengan keperluan. Kebahagiaan rumahtangga bukan diukur dengan kerjaya seorang wanita,” pesan graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Teknologi Tekstil dari UiTM Shah Alam.
PETUA KECANTIKAN
“Saya amalkan minum air kosong yang banyak dan mengurangkan pengambilan gula. Saya juga mementingkan kebersihan kulit wajah. Walaupun tak bersolek, wajah tetap perlu dicuci dengan sempurna. Saya turut amalkan bengkung yang diinspirasikan daripada wanita-wanita zaman dulu bagi mendapatkan pinggang bersaiz kerengga,” akhiri Engku Athirah yang juga gemarkan aktiviti lasak.
Kredit Foto: Instagram Engku Dayana