Pasca Covid-19 ini ramai yang terkesan dari segi ekonomi, baik pendapatan isi rumah mahupun perniagaan. Ramai mula menghakis wang simpanan dan meleburkan barang kemas yang ada. Perkongsian daripada Puan Munirah Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management bagai memberi kelegaan kerana hakikatnya kita boleh mula melabur bermula serendah RM100!
Dalam situasi ekonomi sekarang, adakah masyarakat boleh membuat pelaburan?
Saya ingin menggalakkan agar masyarakat kita melabur dalam situasi ekonomi sekarang kerana matlamat pelaburan adalah untuk memenuhi keperluan kewangan seseorang dalam jangka panjang.
Di Principal, salah satu bidang kepakaran kami adalah membantu pelabur membuat pelaburan jangka panjang untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Contohnya untuk pembelian rumah kali pertama, persaraan, pendidikan anak-anak, simpanan untuk menunaikan haji dan sebagainya.
Pelaburan bagaimana yang Puan cadangkan (secara umum) kepada masyarakat?
Melaburlah dalam dana unit amanah dan skim pelaburan swasta yang patuh Syariah. Dana unit amanah adalah untuk memenuhi keperluan seperti pembelian rumah buat kali pertama, pendidikan anak-anak, simpanan untuk menunaikan haji atau untuk tujuan melancong ke luar negara.
Pelaburan dalam skim persaraan swasta (Private Retirement Scheme) pula adalah untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara secara selesa. Kajian yang dilakukan World Bank menunjukkan bahawa seseorang memerlukan dana sebanyak 70% daripada gaji terakhir sebelum persaraan untuk menjalani kehidupan persaraan yang selesa.
Tips yang boleh digunakan untuk memulakan pelaburan?
Masyarakat kita perlu memahami akan perbezaan di antara wang simpanan dan pelaburan. Wang simpanan adalah perlu untuk perbelanjaan seharian dan kecemasan. Pelaburan pula adalah untuk seseorang itu mencapai matlamat yang khusus contohnya, untuk membeli rumah pertama, pendidikan anak-anak, atau wang persaraan yang mencukupi.
Saya juga ingin menepis mitos yang mengatakan hanya orang kaya sahaja yang boleh melabur. Ini sama sekali tidak benar kerana, seseorang itu boleh mula melabur dengan hanya RM100 sahaja. Bak kata pepatah Melayu, ‘Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.’
Apabila mendapat bonus atau kenaikan gaji, maka amaun pelaburan itu boleh ditambah dari semasa ke semasa. Dengan dividen dan kesan kompaun, potensi pulangan jangka panjang dalam pelaburan lebih baik berbanding dengan deposit tetap (fixed deposit ).
Apakah faedah yang seseorang individu akan dapat daripada pelaburan yang dilakukan?
Masyarakat kita perlu memperkasakan diri mereka dengan pengetahuan dalam kewangan. Dengan ilmu yang diperolehi, mereka dapat menguruskan perbelanjaan seharian mereka serta mempunyai wang yang mencukupi untuk mencapai matlamat yang ditetapkan seperti simpanan persaraan, atau simpanan pendidikan anak-anak.
Pelaburan jangka panjang boleh memberi pulangan yang baik berbanding simpanan wang dalam akaun simpanan (saving account) atau simpanan tetap (Fixed deposit). Lagi awal seseorang itu melabur maka lebih tinggi pulangan yang boleh diperolehi.
Nasihat Puan buat individu yang takut untuk melabur.
Dapatkan nasihat dan panduan daripada pakar pelaburan jika mereka kurang yakin untuk melabur secara sendiri. Antara perkara yang yang paling penting adalah untuk mengenal pasti tahap keselesaan risiko atau selera risiko mereka seperti konservatif, sederhana atau agresif, ataupun di antara mana-mana spektrum tersebut.
This website uses cookies.