Pelakon Zara Zya syukur nikmat selepas impian untuk memiliki kereta idaman dimakbulkanNya.
Di dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram, Zara,37, memuat naik sekeping fotonya bersebelahan kereta jenis Porsche 718 Boxster warna putih.
Zara Zya Panjat Rasa Syukur Ke Hadrat Ilahi
“Dalam tak sedar, Allah telah pun makbulkan doa kita satu persatu. Apa yang kita ada hari ini, adalah apa yang kita telah doakan. Alhamdulillah,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Perkongsian berkenaan turut menarik perhatian ramai dan para peminat turut tumpang gembira melihat kejayaan yang dikecapinya.
Terdahulu memetik Harian Metro, Zara atau nama lengkapnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin akui impiannya berjaya direalisasi selepas lebih setahun mengumpul wang.
Akui Zara, dia selesa meletakkan sasaran seterusnya bekerja keras demi apa yang diinginkan.
“Saya memang suka letakkan sasaran dan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang benar-benar saya mahukan. Saya kumpul wang sejak setahun lalu bagi membeli kereta ini.
“Syukur dan gembira sangat kerana saya memang mahukan kereta ini kerana ia lain daripada yang lain. Saya pun kena juga fikir soal kumpul wang ke depan lagi untuk kos penyelenggaraan dan alat gantinya,” katanya.
Zara turut menjelaskan, tujuan utamanya berkongsi perkara itu adalah bagi membuktikan bahawa setiap orang mampu mencapai sasaran jika berusaha keras.
“Bagi saya, ini satu penghargaan hasil titik peluh selepas penat bekerja. Terpulanglah jika ada yang kurang senang dengan perkongsian ini kerana orang tetap bercakap.
“Sesiapa yang kenal rapat saja pasti tahu sasaran saya dan turut mengucapkan tahniah kerana berjaya mencapai impian. Saya anggap ini pencapaian yang cukup bermakna secara peribadi juga,” katanya lagi.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
“Kita Belum Tentu Masuk Syurga, Tetapi Anak Itu Pasti Menjadi Ahli Syurga” MONA DIN
Ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu #JusticeForBella di Facebook peribadinya pada Julai 2021 demi membela nasib seorang anak syurga bernama Bella.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, beliau berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang merupakan anak sulungnya, seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira berusia 14 tahun yang juga anak Down Syndrome.
“Arwah anak sulung saya, Nur Salima atau dikenali sebagai Kak Mar meninggal dunia ketika umurnya 12 tahun. Arwah meniggal pada Syawal terakhir 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 30 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 18 tahun. Arwah ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap.
Bagi saya, arwah Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 18 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Setelah saya bersara 6 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome.
Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Angelina Jolie Lancar Rayuan Global Dana ASD920 Juta Bantuan Pelarian Di Bangladesh
Pelakon terkenal Hollywood, Angelina Jolie ini lambang wanita sejati apabila menyentuh tentang hak kemanusiaan. Angelina Jolie lantang bersuara dan tertegas menegakkan hak-hak kemanusiaan. Baru-baru ini bekas isteri kepada aktor tampan, Brad Pitt ini telah meluahkan rasa kecewa dan menggesa pihak berkuasa Myanmar untuk menunjukkan usaha yang lebih ikhlas bagi menamatkan keganasan di Wilayah Rakhine.
Angelina Jolie turut berkata keganasan ini perlu dihentikan segera bagi menghentikan penderitaan warga Muslim Rohingya supaya mereka tidak perlu terus melarikan diri ke Bangladesh demi keselamatan. Angelina Jolie dalam lawatan di Kem Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh mezahirkan rasa kecewa dengan masalah yang berlarutan ini.
Ibu kepada 6 orang anak ini telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus memberikan bantuan kemanusiaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan pelarian serta masyarakat tempatan yang sentiasa memberi sokongan dalam membantu mereka.
Angelina Jolie mula membuka matanya dengan krisis kemanusiaan apabila terlibat dalam filem Lara Croft: Tomb Raider pada tahun 2001. Filem box-office ini menyedarkan Angelina Jolie tentang kemiskinan yang berlaku di Kemboja. Kehidupan mewah yang ditempuh oleh Angelina Jolie ini tentang meyedarkan tentang kehidupan orang lain yang hidup dalam serba kekurangan.
Beberapa bulan selepas pulang daripada penggambaran di sana Angelina Jolie telah bersetuju untuk melawat beberapa khemah pelarian diseluruh dunia atas tiket United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).
Melihat komitmen yang tidak berbelah-bagi, Angelina telah telah menamakan sebagai Duta Goodwill Ambassador oleh UNHCR di ibupejabatnya di Geneva, Switzerland pada 27 Ogos, 2001. Angelina Jolie juga telah menyahut rayuan kecemasan UNHCR dengan menyumbang ASD $1 juta untuk tabung pelarian Afghanistan.
Bercerita tentang sisi peribadinya, pasangan yang pernah dikenali sebagai ikon pasangan romantis di Hollywood ini bercerai secara baik. Namun, selepas penceraiannya telah menghalang bekas suaminya, Brad Pitt dari berjumpa enam orang anak mereka, Maddox, 17, Pax, 14, Zahara, 13, Shiloh, 12, serta kembar Knox dan Vivienne, 10.
Sumber: Astro Awani
Empat Tahun Bergelut Antara Kerjaya Seni & Pelajaran, NUHA BAHRIN Tamat Pengajian Kelas Pertama. Hasrat Banggakan Ibubapa Tercapai!
Pendatang baharu industri muzik tanah air, Nuha Sakinah Saiful Bahrin atau lebih dikenali sebagai Nuha Bahrin menggenggam Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) 2022 di Cyberjaya baru-baru ini.
Kegembiraan berganda buat penyanyi Nuha Bahrin abapbila berpeluang membuat persembahan di Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia Malaysia (MMU) selain turut menerima skrol Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pemasaran baru-baru ini.
Tidak hanya mendapat sambutan baik dari[ada rakan-rakan pada majlis tersebut, Nuha, 22 juga berbesar hati apabila rakan duetnya, Naufal Azrin turut bersetuju membuat penampilan bersamanya di atas pentas menyanyikan lagu popular mereka, Casablanca.
“Memanglah saya sangat gembira. Selama ini selalu dijemput untuk menyanyi di majlis konvokesyen dan kali ini dapat buat persembahan di hari yang amat bersejarah buat saya.
“Ia telah dirancang sejak awal lagi dan saya terharu apabila Naufal juga setuju untuk tampil bersama di atas pentas. Ini adalah sesuatu yang saya mahu buat untuk universiti,”
Mengakui mempunyai jadual seni yang sibuk, Nuha berjaya memperoleh kelas pertama dalam pengajian merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat dirinya.
“Syukur sasaran saya untuk dapat kelas pertama tercapai. Saya amat gembira apabila dapat membuatkan kedua ibu bapa bangga dengan pencapaian ini.
Bukan mudah untuk menguruskan kerjaya seni dan pelajaran dalam masa yang sama. Namun segala penat lelah selama ini berbaloi.
Wanita manis berusia 22 tahun itu memberitahu, resipi kejayaannya adalah membuat sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas dan jangan sesekali menyerah kalah.
Dia yang terkenal dengan lagu duet Casablanca bersama Naufal Azrin itu, memberitahu, perlu mengimbangi masa pengajian dan sebagai anak seni.
“Bagaimanapun, jika kita minat sesuatu perkara dan memberi tumpuan serta mencuba sebaik mungkin tiada yang mustahil untuk dikecapi dalam kehidupan.
“Pengalaman sepanjang hampir empat tahun pengajian, terdapat beberapa ketika saya akan mengulang kaji pelajaran dan menduduki peperiksaan di kafe berikutan terdapat rakaman ataupun sidang media,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu, perancangan selepas menamatkan pengajian adalah memberi tumpuan kepada kerjaya seni.
“Saya ingin melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam industri ini. Selain itu, saya berhasrat memiliki jenama pakaian sendiri dan jika diberi peluang ingin berkolaborasi dengan jenama-jenama terkenal tanah air,” katanya.
Menutup bicara, Nuha Bahrin memberitahu, impian tidak boleh dicapai tanpa minat dan keikhlasan. Penyanyi ini juga berharap dapat memanfaatkan ilmu di universiti untuk membina empayar perniagaannya sendiri suatu hari nanti. Nuha juga menunjukkan minat dalam bidang fesyen dan bercita-cita memiliki jenamanya sendiri kelak.