
Pasangan adik beradik yang sama-sama cantik, Zaskia Sungkar dan Shireen Sungkar bukan hanya bergelar pelakon bahkan mereka pernah menubuhkan kumpulan vokal ‘The Sisters’ yang cukup popular suatu ketika dulu.
Biarpun kini masing-masing sudah berhijrah dan mengurangkan aktiviti hiburan, kedua-duanya masih aktif di media sosial seperti Youtube dan Instagram.
Disebabkan hubungan mereka sangat rapat, Zaskia menganggap Shireen lebih daripada seorang kakak. Apabila memerlukan sokongan, Shireen sentiasa ada.
Berikut beberapa foto keakraban Zaskia dan Shireen sebagai adik beradik.
KECIL-KECIL LAGI DAH CANTIK
Ini adalah gambar lama Zaskia dan Shireen semasa mereka berusia dua tahun. Ternyata, mereka ini kecil-kecil lagi dah cantik. Anak kepada Fenny Beauty dan Mark Sungkar ini sangat rapat antara satu sama lain.
SERING KONGSI DETIK BAHAGIA
Jarak umur yang tidak terlalu jauh membuatkan adik-beradik ini sentiasa akrab.s Zaskia dan Shireen sering berkongsi detik-detik kegembiraan mereka di media sosial Instagram masing-masing.
Seperti gambar ini, mereka berdua kelihatan saling bercerita sambil menghabiskan masa bersama walaupun selepas berkahwin.
MACAM KEMBAR!
Seperti adik beradik, ada persamaan antara Zaskia dan Shireen. Kedua-dua selebriti ini kelihatan begitu cantik dan anggun berhijab. Malah wajah mereka kelihatan sangat mirip seperti kembar.
BAHAGIA DENGAN PASANGAN
Walaupun mempunyai kehidupan keluarga masing-masing, ia tidak menjadikan Zaskia dan Shireen berjauhan. Sebaliknya, hubungan mereka menjadi semakin rapat.
SENTIASA ADA & SALING MENYOKONG
Zaskia dan Shireen terkenal sebagai selebriti yang sentiasa menjaga hubungan dengan baik.
Kedua-duanya sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain. Mereka sama-sama menggalakkan antara satu sama lain untuk belajar agama.
BERSAHABAT DENGAN LAUDYA CYNTIA BELLA
Zaskia dan Shireen juga bersahabat baik dengan selebriti jelita, Laudya Cynthia Bella.
Mereka sering muncul bersama sehingga ramai yang mengatakan mereka bertiga seperti adik beradik, sama-sama cantik.
Kredit Foto:Instagram Shireen Sungkar & Zaskia Sungkar
“Dapat Lihat Kubur Arwah Dari Jauh Pun Dah Cukup, Hilang Rasa Rindu” AZIAN MAZWAN

“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.

Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 7 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Jaga Privasi Sebagai Isteri Engku Emran, NOOR NABILA Akui Hidup Lebih Tenang & Bahagia

Seperti yang kita tahu kakak kepada usahawan, pelakon serta pengacara terkenal Neelofa ini seorang yang sangat menjaga privasi. Terutama tentang kehidupannya dengan suami tercinta, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Tidak seperti pasangan yang lain, Noor Nabila Mohd Noor atau Nabila jarang berkongsi gambar suami mahupun gambar mereka berdua di laman sosial.
Sebaliknya, Nabila lebih selesa berkongsi gambar serta video bersama anak tersayang, Jebat Jayden yang kini berusia empat tahun. Setiap hari ada saja aktiviti ibu dan anak ini yang mencuit hati. Jelaslah, Nabila kini tenang menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu.
Berkongsi serba sedikit mengenai perkembangan terkininya selepas berkahwin, Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd ini pernah berkongsi dengan Majalah Nona bahawa dia kini bahagia menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu. Dia juga kini lebih matang dalam perhubungan.
“Saya dan Emran saling menjaga perhubungan. Saya pun dah 38 tahun, dah tahu asam garam rumahtangga.
“Kalau bercakap tentang sabar tu semua orang sabar, kan. Sebagai suami isteri harus sedar, pasangan kita itu seorang manusia yang lain dari segala-galanya.
“Itu tak mengapa sebab kalau kita dapat terima maka kita boleh terima kekurangannya dan cuba betul kekurangan itu bersama. Kami sendiri pun masih belajar. Kadang-kadang tu cakap je tapi nak buat tu susah juga. Tapi setiap hari kena ingatkan diri sendirilah.”
SABAR MENANTI ZURIAT
Bagi pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan untuk memiliki zuriat sebagai pewaris keluarga. Begitu juga Nabila dan Engku Emran.
Semestinya Nabila ingin memberikan adik buat Jayden dan Aleesya. Namun semuanya ketentuan Allah SWT.
Kata Nabila, dia dan suami tak pernah merancang namun sepanjang penantian zuriat itu ada kisah di sebaliknya.
“Sebenarnya saya dah pernah hamil 3 kali tapi belum ada rezeki disebabkan keguguran. Tapi insha-Allah kalau nak mencuba lagi saya kena jagalah.
“Bila dah tahu mengandung tu saya kena cepat-cepat pergi jumpa doktor, makan ubat dan sebagainya lah.
“Doakan saya dan suami diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.”
PETUA CANTIK MAMA
Seperti yang kita tahu, adik beradik perempuan Nabila semuanya mewarisi kecantikan ibu mereka. Kelebihan buat mereka kerana dilahirkan dalam keluarga berketurunan Pakistan-Arab.
Ini yang diamalkan Nabila termasuklah petua yang diamalkan Mama kesayangannya, Datin Noor Kartini atau Datin Tini.
Berusia 50an, Datin Tini yang merupakan ibu 9 anak masih nampak awet muda sampai sekarang. Patutlah anak-anak perempuannya cantik manis semuanya!
“Salah satu petua yang selalu diamalkan oleh Mama ialah suka makan madu. Kalau rutin kecantikan pula, Mama paling pantang kalau kami tak cuci muka bersih-bersih.
“Bagi Mama kulit kena jaga betul-betul terutamanya muka. Bersih luar dan dalam. Itulah antara petua yang dikongsi oleh Mama dengan kami adik beradik.”
Untuk info, Nabila pernah mendirikan rumahtangga dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada tahun 2017 namun bercerai pada Julai 2020. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad. Nabila kemudiannya bernikah dengan Engku Emran pada Mac 2021 dalam satu majlis tertutup.
Kredit Foto: Instagram Noor Nabila
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Cantik Berhijab & Low Profile, Isteri SALAH Hanya Muncul 4 Kali Depan Khalayak!

Dia ialah wanita dan isteri paling berbeza dalam arena bola sepak antarabangsa ketika ini. Tidak menjinjit beg tangan mewah jauh sekali berpakaian persis supermodel, penampilan unik Magi Sadeq pastinya mencuri tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia. Apatah lagi dengan status isteri Mohamed Salah iaitu pemenang Premier League Golden Boot 2017/2018, pasti ramai yang beranggapan penampilan Magi dari hujung rambut ke hujung kaki ‘dibaluti’ dengan pakaian dan aksesori daripada jenama mewah. Hakikatnya, wanita kelahiran Mesir ini enggan memakai perhiasan mewah jauh dan tidak mengenakan solekan tebal!
Meniti usia 26 tahun, Magi Sadeq dilihat selesa dengan penampilan serba sederhana meskipun suaminya terkenal dan kaya-raya. Kalau dihitung nilai kekayaan suami tercinta, dia mampu membeli apa sahaja yang dimiliki isteri pemain bola sepak lain. Namun Magi setia mengamalkan ciri seorang wanita Islam dengan berpakaian longgar dan sopan berhijab.
Disebabkan pemakaian konservatif Magi, terdapat beberapa tabloid antarabangsa yang mengkritik penampilan ibu muda tersebut. Pun begitu, Magi tetap teguh dengan ajaran Islam dan mengelak dari perhatian khalayak serta tidak aktif dengan media sosial.
Magi Sadeq dibesarkan di Nagrig iaitu sebuah perkampungan Gharbia di Mesir. Tempat yang sama Salah dilahirkan. Dia mempunyai kembar perempuan bernama Mohab dan dua lagi adik perempuan, Mahy dan Miram. Ibu bapa Magi merupakan guru di Mohammed Eyad Al Tantawi School, tempat di mana pasangan selebriti ini pertama kali bertemu. Magi juga bukan sebarangan wanita kerana dia turut memiliki pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Perdagangan di Alexandria University, Mesir.
Sebelum ini timbul desas-desus bahawa isteri Salah ialah graduan ijazah bioteknologi. Kekeliruan tersebut timbul ekoran akaun Instagram palsu yang dibuat menggunakan namanya hingga mencetuskan pelbagai tanda tanya. Disebabkan khabar angin yang tersebar luas itu, kebanyakan media antarabangsa melaporkan Magi bertugas dalam bidang bioteknologi.
Magi juga merupakan seorang aktivis yang sering membantu golongan wanita di kampungnya dengan membiayai perkahwinan mereka selain memberi sumbangan kepada keluarga kurang bernasib baik. Setiap kali Ramadan, pasangan ini akan pulang ke kampung halaman mereka dan menderma kepada penduduk kampung.
Mereka membeli peralatan rumah dan bekalan keperluan lain khususnya untuk diberikan kepada pasangan yang baru berkahwin di kampung berkenaan. Walau sudah terkenal, Magi dan Salah tidak menolak pelawaan untuk menghadiri acara kebajikan yang dianjurkan penduduk kampung. Memang betul-betul low profile!
Inilah dia wanita yang menjadi sumber kekuatan dan tulang belakang kepada kejayaan Salah hari ini. Tanpa dirinya, pemain dari Mesir tersebut tidak akan pernah menjadi sehebat seperti sekarang. Salah yang memulakan kerjaya profesional sebagai pemain bola sepak pada tahun 2010 kemudian memutuskan untuk berkahwin dengan wanita idaman, Magi pada tanggal 17 Disember 2013 di Nagrig, Mesir.
Pada tahun berikutnya, Magi selamat melahirkan bayi perempuan di Westminster Hospital, London dan menamakan anak mereka Makka… simbolik kepada nama kota suci umat Islam iaitu Mekah.
Selain wajah cantik dan penampilan yang disifatkan ‘berbeza’ daripada isteri pemain bola sepak bertaraf dunia, Magi seorang wanita tidak gemar berada dalam dunia glamor.
Bayangkan, setelah sedekad Salah berkecimpung dalam pentas bola sepak… hanya empat kali sahaja kelibat Magi muncul di sisi suami tercinta di depan khalayak.
Walaupun populariti Salah kian memuncak dan terkenal namun cinta lelaki Mesir yang berpegang kuat kepada agama Islam ini tetap mencintai ratu hatinya, Magi. Mereka disifatkan penduduk kampung sebagai individu yang baik, beriman, suka bersedekah dan penyayang.
Apa yang menarik sangat di sini!
Sumber: Soccer Stories & Sport Mob