Dalam usia 36 tahun usahawan produk kecantikan ORGGA, Zazarina Zainal Abidin atau Zaza bukan sahaja sukses dalam perniagaan bahkan memiliki aset serta kehidupan sempurna yang menjadi dambaan setiap wanita.
Memiliki darah campuran Melayu-China, Zaza merupakan ibu kepada dua orang anak berusia 5 dan 2 tahun. Sebelum bergelar usahawan, Zaza pernah bergelar pereka grafik dan web. Setelah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan, Zaza mendapat sokongan serta turut dibantu sepenuhnya oleh suami tercinta.
Bersama suami tersayang yang turut menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Zazarina.
IKUT PETUA IBU
“Ibu, Zaleha Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk kekal sihat dan cantik. Salah satu petuanya ialah ibu sering mengingatkan supaya jangan minum air semasa makan atau sejurus selepas makan. Maka, saya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga mengingatkan kami untuk tidak membuat jus buah-buahan sebaliknya ia harus dimakan begitu sahaja kerana kebanyakan zat di dalam buah-buahan akan hilang jika dikisar dan dijadikan jus.
Bersama ibunya, Zaleha Ahmad.
Ibu berkerja dalam bidang kesihatan selama 30 tahun lebih dan beliau juga merupakan penyokong utama ketika saya mahu memulakan perniagaan. Walaupun kini ibu sudah berusia 69 tahun tetapi masih kuat dan sihat. Bayangkan, ibu masih aktif mendaki Gunung Kinabalu, pergi ke luar negara termasuk zon perang untuk misi kemanusiaan dan sebagainya. Saya memang kagum dengan ibu.
Sebab itulah saya menganggapnya juga sebagai ‘hero wanita’ kerana ibulah sumber kekuatan saya. Dalam usianya sekarang ibu masih kelihatan bertenaga, kekal cergas dan aktif.
Ibunya yang aktif mendaki gunung.Ibunya ketika melaksanakan misi kemanusiaan.
Selain ikut petua ibu, saya juga lebih suka berbelanja membeli rangkaian produk dari Eropah. Walaupun ia berasaskan bahan-bahan natural dan organik tetapi kesannya sangat efektif serta bahan-bahan yang digunakan sangat berkualiti tinggi dan selamat.
Ads
AKTIF MUAY THAI
Setiap hari saya akan sampai rumah (dari pejabat) sekitar pukul 6-7 malam. Setiap malam juga (pada minggu bekerja) saya dan suami akan ke kelas Muay Thai pada pukul 8.30 malam. Tetapi sebelum keluar kami akan meluangkan masa terlebih dahulu bersama anak-anak di rumah. Pulang dari kelas iaitu kira-kira pukul 11.30 malam saya akan menyemak segala perancangan untuk hari esok termasuk membaca buku atau melakukan light research. Sekitar pukul 2 pagi barulah dapat melelapkan mata.
Hujung minggu pula adalah waktu berkualiti saya bersama keluarga. Walaupun saya dan suami tidak banyak masa untuk bersama anak-anak tetapi kami cuba memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka termasuk menyeimbangkan pelajaran dan hiburan.
Saya jarang keluar bersama rakan-rakan kerana kebanyakan mereka tinggal di Kuala Lumpur, saya pula di Senawang. Namun kalau ada masa, kami akan keluar untuk minum-minum dan membeli belah. Sebenarnya saya lebih selesa keluar bersama suami kerana beliau umpama teman rapat saya. Antara tempat kegemaran kami ketika keluar ialah kedai buku.
NASIHAT & TIP SUKSES
Saya banyak membaca termasuk mengalami sendiri detik susah senang dalam perniagaan. Untuk menjadi usahawan sukses haruslah fokus. Kedua, rajin membuat kajian. Allah SWT mengurniakan otak yang sama untuk berfikir tetapi bergantung kepada individu untuk memanfaatkannya dan sejauh mana kemampuan untuk berfikir.
Generasi sekarang sangat kurang membaca. Membaca artikel di internet tidak sama dengan membaca buku. Amalan membaca menjana tahap kemampuan otak dan cara kita berfikir sekaligus menambah nilai diri kita sebagai manusia dan usahawan.
Ads
Bergelar ibu dan usahawan bukan mudah untuk membahagikan masa. Satu perkara yang saya sentiasa amalkan ialah tidak tangguhkan kerja atau niat. Kerana jika kita ingin menunggu masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu, masa itu tidak akan tiba dan kerja atau perancangan akan sentiasa tertangguh.
PERNIAGAAN
ORGGA merupakan singkatan perkataan ‘organik’ yang melambangkan konsep produk selain mudah disebut dan diingati. Produk kecantikan ORGGA berasaskan bahan-bahan natural dan organik yang juga memfokuskan kepada penggunaan bahan-bahan botanikal berkualiti. 90 peratus bahan-bahan natural yang digunakan diimport dari United Kingdom, United States, Timur Tengah, Eropah dan China.
Saya berpendapat kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai stigma bahawa produk natural dan organik tidak begitu berkesan dan menunjukkan hasil yang perlahan. Mereka lebih suka memilih produk kecantikan yang kesannya pantas tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang ke atas kulit.
Ia menjadi cabaran buat saya untuk menghasilkan produk natural dan organik yang berkualiti serta berkesan di Malaysia. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan menghabiskan masa lebih kurang satu tahun setengah untuk proses RND termasuk mengambil kursus memformulasi produk kecantikan berasaskan natural dan organik dari UK. Semoga produk kecantikan berasaskan natural dan organik terus mendapat sambutan baik di negara kita.”
Zaza merupakan graduan dalam bidang pengurusan teknologi multimedia dari Universiti Multimedia serta jurusan teknologi informasi bisnes dari Universiti Limkokwing.
Kredit Foto: Instagram @zaza_alzahra & @hanzaking
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menjadi model sudah, bergelar pelakon sudah dan bergelar pengacara pun sudah. Kini selebriti tinggi lampai ini bergelar seorang penyanyi pula. Menyanyi bukan sebarang menyanyi, kini suara Rozita Che Wan sudah boleh didengari di corong radio tempatan. Namun, ibu kepada tiga anak ini akur dengan kemampuan diri dan tidak berhasrat untuk serius dalam bidang nyanyian.
Wanita yang mesra disapa Che Ta ini pada awalnya tidak mahu merakamkan suara namun muncul juga dengan sebuah lagu ‘jingle’ untuk sebuah produk kecantikan diwakilinya iaitu Mylea. “Tapi janganlah salah sangka. Bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyi sedia ada. Ia bukan pun lagu komersial.
“Lagu ciptaan DJ Fuzz itu hanya untuk promosi produk berkenaan dan berdurasi 30 saat. Ia berentak santai dan kedengaran seperti dangdut. Malah sudah dimainkan di corong radio,” katanya yang merakamkan lagu itu memakan masa sejam lebih pada 14 April lalu.
“Saya tak anggap ia satu projek serius. Jauh sekali nak berentap di Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji kata saya bukan tak boleh menyanyi, saya tak rasa boleh serius menyanyi pun,” ujar Che Ta yang baru baru ini dilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.
Nampaknya tahun ini rezeki Che Ta begitu melimpah-ruah apabila kembali menyinar dalam dunia lakonan. Ibu kepada Aaisyah Dhia Rana bakal muncul di layar perak menerusi Kiah Pekasam versi filem terbitan Zeel Production.
“Sudah 11 tahun usia naskhah Kiah Pekasam yang melonjakkan nama saya. Daripada tiga musim drama ke beberapa siri telefilem, ia akhirnya direalisasikan ke bentuk filem pula.
“Insya-Allah 8 Mei ini saya akan ke Perlis untuk memulakan penggambaran. Memang produksi nak kejar momen musim mangga harum manis di sana. Penggambaran filem itu akan berehat seketika memberi laluan kepada sambutan lebaran dijangka 13 Mei nanti.
Pelakon asal juga akan berlakon termasuk suami saya,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama komedi Assalamualaikum Mustafa terbitan Country Universal Sdn Bhd.
Ditanya mengenai sambutan Ramadan, Che Ta seronok mengunjungi bazar untuk membeli juadah berbuka puasa. Namun, jangan tak tahu Che Ta juga suka berbuka dengan nasi. “Kalau buka puasa, wajib makan nasi. Tekak memang nak makan nasi,” katanya yang baru sahaja melancarkan koleksi tudung, Printed Square Scarves sempena Aidilfitri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bermula dengan mengusahakan perniagaan hijab dan muslimah Citraida kira-kira enam tahun lalu, kini Khairul Noormaaidah Zali atau lebih mesra disapa Aida mampu tersenyum bangga selepas kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil hingga berjaya membuka tiga bisnes sendiri.
Berusia 34 tahun, kejayaan yang dikecapi Aida hari ini sudah pasti ia satu pencapaian membanggakan apatah lagi dengan statusnya sebagai isteri dan ibu kepada dua anak. Bukan senang hendak membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya tapi Aida membuktikan semuanya tidak mustahil untuk digapai.
Aida yang merupakan bekas juara Gadis Melayu 2009 sebelum ini pernah menghiasi dunia penyiaran negara. Sebagai pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan gelaran juara Gadis Melayu musim pertama, Aida menggunakan peluang tersebut untuk menjadi pengacara TV.
Antara program yang dihoskan termasuk Apa Ke Halnya, Madinah Ya Rasulullah, Akademi Al-Quran, Nasi Lemak Kopi O dan banyak lagi.
Pun begitu, dia terpaksa memperlahankan kerjaya penyiaran selepas mendirikan rumah tangga bersama personaliti berita TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail pada 4 Jun 2010. Seterusnya menjaga anak sulungnya, Aida Eirdeena yang kini berusia lapan tahun kerana mengalami masalah jantung kongenital sejak dilahirkan. Anak keduanya pula iaitu Saif Eirham berumur enam tahun.
Di samping suami tercinta
Selepas melihat keadaan anak beransur baik, Aida kembali mengacara dalam program Nasi Lemak Kopi O namun mengambil keputusan untuk berniaga secara atas talian pada tahun 2014 menerusi perniagaan tudung, Citraida.
Tidak hanya menguruskan empayar muslimah berkenaan, anak ketiga daripada sembilan beradik ini turut membuka sebuah kafe makanan ala Jepun dikenali Succi Sushi yang menyediakan pelbagai pilihan sushi halal memandangkan dia ialah penggemar sushi.
https://www.instagram.com/p/CDpdviMAUgO/
Dalam kesibukan menjadi pengusaha fesyen dan kafe, Aida terus mengembangkan sayap sebagai usahawan dengan menceburi perniagaan berasaskan kosmetik. Menamakan legasi baharu ini ‘CaMour’, produk kosmetik sulung yang dihasilkan Aida ialah lipmatte. Memang kagum dengan kegigihan Aida untuk berjaya.
Semoga segala impian Aida dimakbulkan dan menjadi sumber inspirasi buat seluruh wanita.
Kredit foto: Instagram Aida Citra
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati merupakan puteri sulung Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn hasil perkongsian hidup dengan isteri pertamanya, Puteri Soamsawali Kitiyakara.
Puteri Bajrakitiyabha telah menjadi sebahagian daripada kalangan individu kepercayaan ayahandanya sejak Raja Thailand itu menggantikan Raja Bhumibol Adulyadej pada 2016, dan telah dilantik sebagai pegawai kanan dalam pengawal peribadi raja.
Lebih membanggakan, puteri raja berusia 44 tahun itu merupakan individu yang paling berjaya dalam kalangan kerabat diraja. Puteri Bajrakitiyabha memiliki ijazah sarjana dalam undang-undang dari dua universiti di Amerika Syarikat.
Puteri Bajrakitiyabha merupakan lulusan ijazah doktor falsafah (PhD) undang-undang dari Universiti Cornell dan menjadi duta Thailand ke Austria dari 2012 hingga 2014. Selain itu, Puteri Bajrakitiyabha pernah berkhidmat sebagai duta ke Slovenia dan Slovakia.
Beliau mengusahakan beberapa projek dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dilantik sebagai wakil Thailand untuk Wanita PBB pada September 2008.
Tahun lalu, beliau dilantik sebagai ketua kakitangan Perintah Keselamatan Diraja dengan pangkat jeneral.
Puteri Bajrakitiyabha antara tiga anakanda Raja Maha Vajiralongkorn yang memiliki gelaran rasmi, menjadikan baginda layak menaiki takhta berdasarkan Perlembagaan negara dan Undang-Undang Pewarisan Istana 1924.
Walaupun raja belum menamakan waris secara rasmi, Bajrakitiyabha adalah anak sulung dan paling berjaya antara anak-anaknya. Dia dilihat sebagai calon yang berpotensi menggantikan raja, di samping adik tiri wanita itu, Putera Dipangkorn Rasmijoti yang berusia 17 tahun.
Namun begitu, bakal pewaris takhta Thailand, Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, rebah akibat serangan jantung, petang Rabu lalu. Beberapa laporan mendedahkan, keadaan Puteri Bajrakitiyabha lebih serius daripada apa yang dimaklumkan kerana biasanya kenyataan pihak istana mengenai kesihatan ahli keluarga diraja biasanya ‘samar-samar’.
Pihak istana berkata, anak perempuan Raja Maha Vajiralongkorn berusia 44 tahun itu pengsan kira-kira 6.30 petang ketika melatih anjingnya di Pak Chong, wilayah Nakhon Ratchasima.
Atas nasihat doktor diraja, puteri itu dibawa ke Hospital Pak Chong Nana untuk rawatan awal sebelum dibawa dengan helikopter ke Hospital Memorial Raja Chulalongkorn Bangkok. Doktor mengesahkan, keadaannya di sana malam tadi stabil.
Bangkok Post melaporkan, haiwan peliharaan puteri itu sedang dilatih untuk bersaing dalam Kejohanan Anjing Kerja Thailand anjuran Tentera Diraja Thailand yang berlangsung dari 10 hingga 19 Disember.
Raja Vajiralongkorn bergegas untuk berada di sisi anak perempuannya itu.Puteri Bajrakitiyabha, 44, gering selepas dikatakan tidak sedarkan diri di daerah Rachasima semalam sebelum dikejarkan ke sebuah hospital tempatan.
Menurut kenyataan istana, ketika kejadian, baginda menghadiri kejohanan ‘working dog’ anjuran tentera sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri. Anakanda sulung Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah jantung, namun dilaporkan stabil.
Sumber: REUTERS
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Happy birthday Datin Paduka Eina Azman! 13 Mac lepas merupakan ulang tahun kelahiran personaliti jelita ini yang ke-30. Meniti usia 30 tahun, Datin Paduka...