Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Segalanya tak mustahil kalau ada kemahuan dan kesungguhan.
Nama Zed Zaidi sememangnya tak asing lagi di kalangan penggiat seni tanahair. Pelakon, guru lakonan serta Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ini baharu saja menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Kepimpinan dan Pengurusan) dari City University Malaysia baru-baru ini.
Zed menyifatkan kejayaannya itu adalah berkat sokongan keluarga, isteri, anak-anak serta ibu yang menjadi sumber kekuatannya untuk terus tabah menghadapi cabaran sepanjang tempoh pengajian.
Memetik perkongsian Zed kepada Kosmo!, dia yang kini berusia 43 tahun memulakan sesi pengajian Ijazah Sarjananya itu ketika negara berdepan dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Saya mula belajar ketika PKP dengan banyak cabaran dan halangan ketika itu. Syukur hari ini dapat juga habiskan pengajian berkat sokongan keluarga, isteri, anak-anak dan juga ibu saya,” kongsi Zed yang pernah bergelar juara Hero Remaja 2001 ini.
Menurut pemilik nama penuh Rozaidi Abdul Jamil ini, ibunya adalah tunjang utama serta pembakar semangat untuk dia terus berjuang dalam akademik.
“Ibu tunjang utama kekuatan dan dia pembakar semangat untuk saya terus berjuang mencapai impian meraih pendidikan setinggi mungkin.”
Zed turut menyifatkan Ijazah Sarjana yang diterimanya itu sangat relevan dengan tanggungjawabnya sebagai guru lakonan dan ahli NGO.
“Akhirnya saya dapat menggenggam Ijazah Sarjana dalam bidang yang dekat dengan kerjaya saya. Lega rasanya apabila mampu menamatkan pengajian satu tahun itu.
“Pencapaian ini amat dekat dengan apa yang saya perjuangkan, kepimpinan dan pengurusan ini sangat penting untuk saya memandangkan saya ahli NGO dan guru lakonan.”
Pada masa sama, pelakon filem Pontianak Menjerit itu berharap agar pencapaian tersebut menjadi contoh kepada anak-anak serta ahli bawah didikannya.
“Tujuan saya antara lain ialah menjadi contoh kepada insan sekeliling. Maksudnya kepimpinan melalui teladan.
“Jadi, apabila saya boleh buat (sambung belajar) Ahli Jawatankuasa NGO dan anak-anak saya akan terinspirasi dengan pencapaian ini.”
Zed juga mengharapkan agar kejayaannya itu menjadi pencetus semangat kepada masyarakat untuk terus mencapai kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Untuk info, sebelum berada dalam industri seni Zed Zaidi pernah bergelar pegawai perbankan. Setelah berjaya menjadi juara pencarian Hero Remaja 2001 kehidupannya mula berubah sehinggalah kini diamanahkan sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia.
This website uses cookies.