Zuriat Hadir Selepas Harungi 6 Kali IVF, Datin Ayu Roslan Kongsi Detik Kali Pertama Dipanggil Mommy

Anugerah terindah bagi setiap wanita yang berumahtangga sudah tentunya bergelar seorang ibu. Akan tetapi, rezeki bagi setiap pasangan tak sama. Ada yang perlu menunggu sampai bertahun-tahun lamanya. Ada pula yang dikurniakan zuriat tak berapa lama bernikah.

Sebagaimana perkongsian Datin Ayu Roslan, seorang usahawan yang pernah mencetuskan fenomena ‘Bokitta lovers’ di Malaysia bersama rakan bisnesnya, serta penerima Nona Best Duo Entrepreneur Award di Nona Superwoman Award 2020. Ternyata, beliau bukan calang-calang wanita. Tuhan menguji hambaNya mengikut kemampuan, begitulah ketentuan buat Datuk Ayu yang sanggup mengharungi 6 kali rawatan IVF (persenyawaan in-vitro) demi zuriat penyambung keturunan.

Hakikatnya, beberapa kali melalui proses IVF benar-benar menguji emosi dan fizikal Datin Ayu. Dari raut wajahnya mungkin terlihat tenang tetapi tiada siapa yang tahu, wanita berusia 39 tahun ini pernah melalui detik mendebarkan ketika menjalani IVF. Bagai ‘nyawa di hujung tanduk’ namun Datin Ayu tabah menghadapi dugaan yang tak terduga itu.

“Sebagai permulaan cerita, saya dan suami dah berkahwin selama 5 tahun dan berusaha untuk mendapatkan zuriat. Kami berjumpa doktor dan diberikan ubat hormon saja. Tak menjadi dan doktor minta kami terus berdoa. Waktu itu memang rasa frust sangat. Kemudian kami berjumpa doktor lain pula. Saya disarankan untuk buat rawatan IUI (persenyawaan dalam rahim). Usaha ini pun gagal.

Saya maklumkan kepada doktor saya nak terus ke rawatan IVF. Itu usaha terakhir yang saya buat. First IVF saya tukar doktor. Rawatan IVF ini sebenarnya menggalakkan penghasilan telur. Hasil rawatan itu saya mendapat 29 telur. Tapi yang disenyawakan 21 telur, dan 14 saja di’frozen’kan. 14 telur ni gred A embrio. Ia ditransfer dan Alhamdulillah saya hamil. Happy sangat.

Kegembiraan itu tak lama, lepas 4 bulan saya turun darah. The second time saya ambil masa yang lama. Selalunya doktor suruh fikir dulu selepas 6 bulan baru buat IVF semula. Tapi saya buat semula selepas 3 bulan. I prepared my body

, buat transfer tapi yang ini hanya bertahan 5 minggu saja.

Rasa frust sangat sebab the process tu susah sangat. Emosi pun terganggu sampai masa tu saya rasa macam nak bunuh diri pun ada. Sebab hormon tu terlalu banyak, berat badan naik. Lebih banyak rasa negatif, dunia pun terasa gelap. Macam depression tapi belum sampai tahap itu lagi. Saya duduk rumah saja tak jumpa orang. Kemudian, saya pergi homeopati, akupuntur untuk pulih.

Dalam tempoh 4 bulan, saya dan suami buat planning baru dan jumpa doktor lain pula. With the same embryo. Buat lagi dan akhirnya saya dapat kembar lelaki dan perempuan. Saya gembira sangat. Sampailah 6 bulan, saya alami pendarahan. Seminggu saya di hospital dengan keadaan kaki upside down dalam labour room. Sampai saya rasa masa tu mungkin dah nak mati sebab kontraksi yang sangat kuat. Doktor kata saya kena berada dalam posisi begitu sampai bersalin. Famili banyak bantu saya ketika itu. Akhirnya bila tiba bayi keluar. bayi perempuan meninggal dalam perut, dan yang lelaki sempat hidup tapi tak lama.

Seterusnya, saya masukkan satu saja embrio dan rahim dijahit. Alhamdulillah kali ini sempat 37 minggu dan bayi dilahirkan secara Caesar. Kali ke-4 IVF barulah saya dapat merasa menjadi seorang ibu. Pertama kali saya dipanggil Mommy. Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu. Syukur sangat-sangat!

Berkenaan kos, rawatan ini bermula dalam lingkungan RM15 ribu. Tetapi jika seorang wanita itu mempunyai sebarang masalah kesihatan contohnya cyst, kosnya mungkin berbeza. Tetapi sekarang, dah banyak pusat-pusat IVF yang mendapat sokongan kerajaan. Insha-Allah, semoga doa pasangan-pasangan yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat dikabulkan,” akhiri Datin Ayu.

Kredit Foto: Instagram @allureayu

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad